Berita Hari Ini
Like

Dr M: PPSMI Diputuskan Tahun Depan

February 15, 2020
172 Views
0 Comments
1 minute read
Dr M: PPSMI Diputuskan Tahun Depan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berharap keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan semula atau sebaliknya dapat diputuskan pada tahun hadapan.

Dr Mahathir, yang memangku jawatan menteri pendidikan, berkata kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti perkara itu dan akan menyediakan kertas cadangan yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Katanya, kabinet seterusnya akan menentukan sama ada PPSMI dilaksanakan semula atau membuat keputusan mengekalkan kaedah pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan.

“Isu PPSMI akan diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet. Saya tidak boleh buat keputusan…ia mesti dibuat oleh Kabinet,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau, di Langkawi, hari ini.

“(Sebelum ini) saya beritahu kepada pegawai, bukan buat pengumuman (kepada umum mengenai memperkenalkan semula PPSMI), tetapi entah macam mana ia tiris dan orang ramai diberitahu bahawa saya telah buat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata sebuah jawatankuasa Kabinet telah dibentuk untuk mengkaji perkara itu memandangkan terdapat tentangan daripada orang ramai terhadap cadangan berkenaan.

Program Medical Outreach anjuran Langkawi Youth Power Club, Institut Jantung Negara (IJN) dan Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP itu bertujuan menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk setempat.

– Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.