Berita Hari Ini

Dr Mahathir Ulangi Kenyataan Akan Berundur Selepas Persidangan APEC

DR Mahathir Mohamad mengulangi kenyataannya bahawa beliau hanya akan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kuala Lumpur yang akan berlangsung November ini.

“Saya kata saya bersedia bila-bila masa nak suruh saya letak jawatan, saya letak jawatan.

“Janji saya, saya akan letak jawatan, apa juga keputusan yang dibuat saya akan letak jawatan selepas mesyuarat APEC,” kata Dr Mahathir selepas melancarkan Bulan Anti-Dadah Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Namun pemimpin berusia 94 tahun itu berkata, beliau tidak pasti sama ada perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan Jumaat ini.

“Saya akan menjadi pengerusi.., jadi kerusi,” katanya berseloroh ketika ditanya sama ada isu berkenaan antara agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Minggu lalu, Presiden PKR yang juga bakal perdana menteri Anwar Ibrahim memberitahu pemberita, isu peralihan kuasa akan diselesaikan pada mesyuarat berkenaan.

“Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.

“Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan mengkaji keberkesanan hukuman mati untuk membendung aktiviti pengedaran dadah.

“Hukuman bagi yang memiliki dan mengedar adalah hukuman mati, namun ada yang mengatakan ia tidak berkesan kerana masih ada yang mengedar dadah.

“Kita akan mengkaji untuk mengetahui sama ada dakwaan ini benar. Sekiranya terdapat cara lain untuk menghentikan pengedaran dan penggunaan dadah,  kita akan meminda undang-undang,” katanya.

Katanya, kerajaan juga sedang meneliti berhubung penyalahgunaan dadah.

“Tetapi penting bagi mereka untuk memahami bahawa penyalahgunaan dadah berbahaya kepada semua orang secara umum.” – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");