Berita Hari Ini

Dua bekas TPM dipecat bersaing untuk jadi PM

ANWAR Ibrahim dan Muhyiddin Yassin – kedua-duanya dipecat semasa jadi timbalan perdana menteri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) – kini bersaing membentuk sebuah gabungan untuk jadi perdana menteri Malaysia kelapan.

Mereka memerlukan sekurang-kurangnya 112 anggota Dewan Rakyat untuk jadi perdana menteri.

Muhyiddin dilihat mendahului sejak beliau menarik partinya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan Isnin lalu, menyebabkan pentadbiran gabungan itu runtuh pada hari yang sama Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri.

Beliau kini mendapat sokongan 36 wakil rakyat Bersatu, termasuk 10 ahli Parlimen bekas PKR, dan 60 kerusi dari Umno (39), PAS (18), MCA 2, dan MIC (1).

Anwar bagaimanapun mempertahankan bahawa beliau ada sokongan yang cukup untuk akhirnya jadi perdana menteri, jawatan yang hanya beberapa langkau saja dari genggamannya pada 1998 ketika dipecat oleh perdana menteri pada masa itu, Dr Mahathir.

Anwar kini memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan bahawa beliau ada sokongan.

Awal hari ini, Istana Negara dalam satu kenyataan berkata Seri Paduka tidak dapat diyakinkan bahawa ada pihak yang mendapat majoriti dalam kalangan 222 anggota Dewan Rakyat.

Presiden PKR itu sebelum ini bergelut mahu mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 kerusi.

Sebuah lagi parti utama Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah lebih awal mengikrarkan sokongan 9 kerusi untuk Dr Mahathir. Warisan dijangka akan turut mendukung Muhyiddin, yang kini dilihat sebagai proksi Dr Mahathir.

Dr Mahathir kembali menerajui Bersatu sebagai pengerusi parti selepas letak jawatan pada Isnin lalu.

Beliau letak jawatan kerana membantah langkah Muhyiddin berpakat dengan 11 bekas ahli Parlimen PKR yang diketuai bekas timbalan presiden parti yang dipecat Mohamed Azmin Ali. Seorang daripada mereka menafikan keluar PKR.

Perlumbaan untuk jadi perdana menteri bermula Jumaat lalu selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bertujuan menetapkan tempoh peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar merebak kepada beberapa perkembangan pada hujung minggu.

Sejumlah ahli Parlimen dari PKR, Bersatu, Umno, PAS dan lain-lain menghadiri majlis makan malam di sebuah hotel di Petaling Jaya, lalu mencetuskan spekulasi ada gerakan politik mahu menafikan Anwar jadi perdana menteri.

Muhyiddin Yassin yang sebelum ini tidak pernah meluahkan hasrat menjadi perdana menteri daripada Bersatu sekarang jadi nama sebutan yang meraih sokongan pelbagai pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.
Muhyiddin Yassin yang sebelum ini tidak pernah meluahkan hasrat menjadi perdana menteri daripada Bersatu sekarang jadi nama sebutan yang meraih sokongan pelbagai pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2020.

Sumber berkata Muhyiddin dan Azmin menawarkan jawatan utama kepada beberapa pemimpin Umno dan PAS serta parti dari Sabah dan Sarawak, sekiranya mereka bergabung membentuk kerajaan tanpa Anwar.

Beberapa senarai mula muncul tetapi difahamkan kerajaan baharu yang diketuai Muhyiddin akan menyaksikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

Kedua-dua mereka pernah menjadi orang kanan Anwar pada 1980-an dan 1990-an.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Anwar dijanjikan sebagai pengganti Dr Mahathir sekiranya Pakatan Harapan menumbangkan BN.

Selepas PH menang pilihan raya, Anwar mendapat pengampunan diraja dan bertanding pilihan raya kecil. Beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson pada hujung 2018.

Sejak itu, Dr Mahathir ditekan untuk menyerahkan pentadbiran dalam masa dua tahun, menjelang Mei ini.

Dr Mahathir meminta tempoh sehingga Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Pasifik pada November ini. Anwar bersetuju. Bagaimanapun bekas timbalan Anwar, Azmin menggesa Dr Mahathir terus kekal sehingga tamat mandat pilihan raya, sehingga mencetuskan ketegangan dalam pakatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");