Perak Hari Ini

E-Tunai Rakyat: Sambutan Menggalakkan, Golongan Berusia Masih Perlu Masa

IPOH: Semenjak dilancarkan pada 15 Januari lalu, program E-Tunai Rakyat nyata mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat ke arah pembudayaan transaksi pembayaran tanpa tunai.

Malah rata-rata semua golongan lapisan masyarakat mula menjadikan platform e-pembayaran sebagai kaedah alternatif mahupun yang utama bagi sebarang urusan melibatkan pembayaran.

Sebagai pelajar, Muhammad Hafiz Abdul Ghani, 20, menggunakan platform e-pembayaran sedikit sebanyak dapat mengajarnya untuk berjimat cermat dalam berbelanja.

“Menggunakan e-pembayaran ini boleh mengajar saya untuk berjimat dalam berbelanja yang mana jika kita mahu menggunakannya barulah kita akan menambah nilai.

“Kebiasaannya apabila kita nampak duit itu secara nyata kemungkinan untuk terlalu berbelanja lebih agak tinggi.

“Namun apabila duit itu dimasukkan ke dalam aplikasi e-pembayaran, kita akan berasa ‘sayang’ untuk terlebih menggunakannya,” katanya ketika ditemui PerakToday, di sini, hari ini.

Dia yang sudah menggunakan platform digital itu sejak 2018 berkata usaha kerajaan terhadap pembudayaan transaksi pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat adalah baik.

Sementara itu, Muhammad Al Hadi Tahiruddin, 19 berkata platform e-pembayaran amat memudahkan apabila tidak perlu sering membawa wang tunai apabila untuk berbelanja di luar.

Dia juga tidak menolak bahawa platform itu juga mampu mengelakkan diri daripada menjadi sasaran aktiviti jenayah seperti penyeluk saku.

“Pembayaran melalui platform digital ini mudah apabila kita tidak perlu lagi untuk sentiasa membawa wang tunai ke mana-mana.

“Ada kalanya kita terlupa untuk membawa wang tunai dan apabila ini berlaku, platform e-pembayaran membantu kita untuk sebarang urusan pembayaran,” katanya.

Walau bagaimanapun, bagi Ah Fa, 40, dia masih lagi kurang arif tentang penggunaan platform pembayaran digital tersebut.

Katanya dia memerlukan tempoh masa panjang selain mengakui masih bergantung kepada anaknya untuk menggunakan insentif RM30 E-Tunai Rakyat.

Pada masa sama, dia yang merupakan seorang pengusaha kedai runcit di Bandaraya Ipoh berkata pelanggannya yang berumur dalam lingkung 40 tahun ke atas juga mempunyai masalah yang sama walaupun kedainya boleh menggunakan platform e-pembayaran.

“Kebiasaannya yang guna platform ini di kedai saya hanyalah golongan muda. Golongan yang sebaya atau yang lebih berusia daripada saya agak kurang.

“Mungkin ia memerlukan sedikit masa kerana kempen untuk e-pembayaran ini juga masih baru. Mungkin dalam tempoh enam bulan, hampir semua golongan akan mahir menggunakannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");