Perak Hari Ini

Fahami Pemikiran Dan Jiwa Generasi M – Sultan Perak

IPOH: Kemuliaan ummah pada masa hadapan amat bergantung kepada sebarang bentuk kejayaan yang diperoleh golongan yang berusia di bawah 30 tahun atau ‘Generasi M’.

Justeru peranan Generasi M amat signifikan untuk menjadi penentu kepada arah haluan masa hadapan ummah serta dunia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah generasi dewasa masa kini wajib memahami pemikiran dan jiwa kumpulan anak muda itu.

Titah Baginda, generasi dewasa juga hendaklah bersedia memberikan ruang yang luas kepada mereka bagi membolehkan generasi muda Islam dapat mengambil tanggungjwab dan memenuhi peranan kepimpinan.

Titah Baginda lagi, generasi dewasa juga pada masa sama hendaklah memberikan dorongan agar mereka mampu menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah.

“Generasi M ini berpegang kepada iman dan amat selesa menerima kemodenan. Generasi ini tidak begitu mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta serta dibuktikan relevansi dalam dunia semasa.

“Mereka memerlukan kefahaman dan kerasionalan terhadap sesuatu perkara, selain mengamalkan budaya berdialog, berdebat dan berinteraksi.

“Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif terhadap sebarang apa yang diungkapkan.

“Melalui talian, mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif, yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan penelitian untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah semasa menyempurnakan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertemakan ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’ di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini hari ini.

Titah sedemikian merupakan antara dua langkah yang dianjurkan Sultan Perak dalam mengolah wawasan dan melakarkan harapan ummah.

Terdahulu langkah pertama, Baginda turut bertitah agar umat Islam dapat terus berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Dalam hasrat menerokai formula untuk mengangkat kemuliaan ummah, sewajibnya muzakarah ini melakukan analisis secara jujur lagi berani, memeriksa keberkesanan, produktiviti dan impak yang dihasilkan melalui kaedah pengajaran Al-Quran ketika ini.

“Ia sama ada boleh mengupayakan insan memahami dan menghayati perkara-perkara yang tersirat di samping yang tersurat, serta berupaya memperlengkapkan minda umat Islam agar dapat menguasai pelbagai pengetahuan serta kemahiran,” titah Baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");