Panasnya Hari Ini
Like

Gesa Hentikan Polemik Isu Peralihan Kuasa

February 15, 2020
359 Views
0 Comments
4 minutes read
Gesa Hentikan Polemik Isu Peralihan Kuasa

SHAH ALAM – Isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dihentikan kerana ia menggugat keyakinan dan kestabilan pelaksanaan dasar serta usaha menarik pelaburan asing.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, kerajaan juga dilihat tidak stabil dan ia mengundang polemik berterusan.

“Isu peralihan kuasa memberi gambaran salah rakyat, pegawai kerajaan dan juga dunia korporat bahawa Perdana Menteri sedia ada kini hanya berstatus sementara.

“Sepatutnya dalam situasi ekonomi mencabar dan usaha yang dikatakan mahu memulihkan negara, maka kerajaan seharusnya kelihatan kukuh dan stabil serta mampu menyediakan satu kepimpinan dan dasar diyakini di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Jadi isu peralihan kuasa harus dihentikan dan sokongan harus diberikan kepada Dr Mahathir dan Kabinet untuk meneruskan usaha memajukan negara,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Md Shukri berkata lagi, peralihan kuasa bukan isu mendesak dan tiada sebab kukuh ia perlu dilaksanakan.

“Sebagai seorang negarawan dan pernah menyandang jawatan Perdana Menteri selama lebih 23 tahun, tidak mudah bagi Dr Mahathir untuk melihat isu itu boleh dilakukan secara melulu tanpa melalui pertimbangan wajar mengikut situasi semasa dunia dan negara.

“Beri ruang kepada beliau untuk menilai dan menumpukan pembangunan negara.

“Kewajaran mengalihkan kuasa kini bukanlah masa yang sesuai, bahkan ia mencipta pula masalah baru.

“Ia dinamakan Mahathirokrasi iaitu peranan beliau dalam perjalanan politik demokrasi Malaysia adalah sesuatu yang tidak berpisah. Lihat sahaja bagaimana parti lawan di Parlimen beria-ia menyokong Dr Mahathir dalam memimpin negara,” katanya.

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, ketika ini pilihan pembubaran Parlimen bukan lagi keutamaan, sebaliknya kedudukan boleh berubah jika Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) ada alasan bahawa Perdana Menteri mendapat majoriti atau mahukan pertukaran baton kepimpinan disegerakan.

Menurut beliau, pembubaran Parlimen bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong dengan inisiatif Perdana Menteri melalui peruntukan Artikel 40 (1) Perlembagaan.

“Dalam isu melibatkan Perlembagaan, Parlimen dan kedudukan Yang di-diPertuan Agong tidak boleh diketepikan dalam konteks perbincangan transisi kepimpinan selagi Perdana Menteri masih menerima sokongan majoriti kecil.

“Kedudukan beliau (Perdana Menteri) tidak tergugat tetapi jika wujud keadaan tertentu seperti kematian, peletakan jawatan atau kehilangan sokongan dalam parti gabungan, maka itu boleh menyebabkan Yang di-Pertuan Agong merasakan perlunya pelantikan Perdana Menteri baharu,” katanya.

Beliau menyifatkan kuasa Pejabat Perdana Menteri amat besar dan signifikan dalam konteks isu peralihan kuasa ini.

“Dalam situasi kedudukan Dr Mahathir dan Anwar, ia boleh berubah sekiranya Majlis Presiden PH ada alasan kukuh Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti atau mahu pertukaran baton disegerakan.

“Jika PM masih ada sokongan termasuk daripada pembangkang, maka satu kolaboratif politik baharu boleh muncul tanpa pembubaran,” katanya.

Bagi penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, isu peralihan kuasa perlu dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini.

“Pertemuan itu penting kepada negara serta rakyat yang ingin melihat Dr Mahathir menunaikan janji atau sebaliknya.

“Saya kira Majlis Presiden PH sudah menerima pelbagai desakan untuk melihat perubahan itu lancar dan penuh diplomasi serta dapat menyatukan PH dan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa proses peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu lancar bagi menjamin situasi politik dalam negara terus stabil.

“Jika terdapat penangguhan peralihan kuasa, sudah pasti komponen PH akan bergolak dan krisis politik akan berlaku.

“Saya yakin Dr Mahathir cukup rasional walaupun ada pihak cuba membuat pelbagai cadangan untuk tidak melantik Anwar menggantikan beliau,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.