Berita Hari Ini

Hari ke-77: Bekas Raja Arab Saudi Janji Bantuan Kewangan Pada Najib

Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-77 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


9.52 pagi: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Bekas Raja Arab Saudi, Raja Abdullah menjanjikan bantuan kewangan kepada Perdana Menteri, Najib Razak bagi membiayai Pilihan Raya Umum (PRU-13)

Bekas duta besar Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Syed Mohammad Al Saggaf berkata beliau difahamkan perkara itu semasa mesyuarat tidak rasmi antara delegasi Najib dan Raja Abdullah pada 11 Jan 2010 di Riyadh, Arab Saudi.

Semasa membaca kenyataan saksi, saksi pembelaan itu berkata mesyuarat tidak rasmi itu berlaku sebelum lawatan rasmi Najib ke Arab Saudi beberapa hari kemudiannya pada Januari 2010.

“Selepas mesyuarat (Jan 11 2010), saya difahamkan bahawa Raja Abdullah berjanji untuk menghantar bantuan kewangan kepada Najib dalam menguruskan politik berkaitan pilihan raya akan datang (PRU-13),” kata Syed Omar ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah.

Syed Omar berkata, sebelum ini dalam mesyuarat itu, Raja Abdullah menyatakan kekaguman terhadap Malaysia kerana berjaya menguruskan negara ini dan bimbang dengan keadaan keadaan huru-hara akibat Kebangkitan Arab (Arab Spring) di Timur Tengah.


9.27 pagi: Saksi pembelaan keempat, bekas duta Malaysia ke Arab Saudi mengambil tempat di kandang saksi.

Beliau akan membaca kenyataan saksi bertulis.

Saksi berkenaan adalah Duta Besar Malaysia ke negara Timur Tengah itu dari Sept 2008 hingga September 2013.


9.24 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila prosiding bermula.

Turut kelihatan di mahkamah ialah peguam utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah.


9 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Turut kelihatan di mahkamah menunggu prosiding bermula ialah Peguam Negara Tommy Thomas, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), V Sithambaram dan DPP lain, serta pasukan peguam Najib.


Seorang bekas duta Malaysia ke Arab Saudi dijangka memberi keterangan pada hari ke-77 perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Difahamkan bekas duta itu merupakan saksi keempat pembelaan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu, yang didakwa atas tujuh tuduhan salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Pada akhir prosiding minggu lepas, peguam tertuduh, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa mereka akan memanggil saksi itu untuk ditemu bual agar bersiap sedia dalam perbicaraan hari ini.

Dalam prosiding pada Rabu lalu, mahkamah antara lain mendengar keterangan daripada saksi ketiga, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang mengatakan kebiasaannya mengambil masa lebih sebulan untuk proses kelulusan bagi permohonan jaminan kerajaan ke atas pinjaman.

Semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan tahun lalu, saksi pendakwaan Maliami Hamad, yang juga bekas pegawai kanan kementerian kewangan, berkata arahan datang dari Menteri Kewangan melalui perantara, untuk mempercepatkan pemprosesan permohonan SRC bagi mendapatkan jaminan kerajaan untuk pinjaman berbilion ringgit daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Kabinet meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion daripada KWAP kepada SRC pada akhir 2011, dan jaminan kerajaan kedua bagi pinjaman sebanyak RM2 bilion pada awal 2012.

SRC diletakkan di bawah hak milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada awal 2012.

Prosiding pagi ini dijalankan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan dijangka bermula sekitar jam 9 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");