Perak Hari Ini

‘Henti Komen Melampau Berkenaan Isu Video Ustazah Merangkak’

MANJUNG: Penularan video seorang ustazah merangkak di sebuah sekolah agama di Parit 15, Hutan Melintang, baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi ramai terutama di media sosial.

Keadaan bertambah buruk apabila pihak ustazah dan seorang wanita yang didakwa menyebabkan tindakan sedemikian turut menerima kecaman sehingga dikatakan memberi tekanan jiwa kepada kedua-dua pihak.

Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MAPIM), Datuk Abd Rasid Nopiah tampil berharap agar warganet tidak lagi terus membesar-besar isu tersebut kerana difahamkan kedua-dua pihak telah bersemuka dan menyelesaikan isu sedemikian.

Katanya sehubungan itu, warganet seharusnya tidak cepat melatah dan tidak lagi membuat andaian sendiri terhadap mana-mana pihak terbabit sehingga boleh mengeruhkan keadaan.

Beliau turut berasa kesal dengan tindakan segelintir warganet yang dengan sengaja menyebarkan gambar dan video pihak yang terlibat dalam isu tersebut dalam media sosial.

“Pada saya janganlah kita bertindak seperti menyebarkan gambar pihak-pihak yang terlibat dalam video itu.

“Kita sepatutnya bertindak wajar dengan menggunakan saluran yang betul dan biar pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan.

“Walaupun apa yang berlaku dalam video itu memang menyinggung perasaan pelbagai pihak namun kita sebagai masyarakat harus berfikirkan rasional sebelum bertindak,” katanya ketika ditemui di Changkat Cermin, di sini, hari ini.

Selain berharap agar ia tidak lagi berlaku pada masa hadapan, Abd Rasid turut menasihatkan ibu bapa agar dapat berurusan dengan pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekiranya timbul sebarang isu dalam kalangan murid.

“Ibu bapa juga perlu membuat aduan mengikut saluran yang betul mengikut prosedur yang telah ditetapkan ataupun melalui PIBG. Jangan kita mengambil tindakan sendiri.

“Selain itu, buat warga pendidik juga disarankan untuk menggunakan cara yang betul dalam mendenda murid sekiranya terbukti ada berlaku kesalahan,” katanya.

Baru-baru ini sebuah video berdurasi dua minit 17 saat berkenaan isu berkenaan telah tular dan mendapat perhatian ramai termasuk bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");