Perak Hari Ini

Insiden Imigresen Dihalang Tugas Di Batu Caves: Ini Amaran Saya.. – Muhyiddin

IPOH: Insiden melibatkan kira-kira 50 anggota Jabatan Imigresen yang dihalang daripada melakukan tugas operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves baru-baru ini, adalah amat dikesalkan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan sedemikian bukan sahaja memberi kesan kepada keselamatan malah ia boleh memberi kesan buruk kepada negara.

Katanya kementeriannya juga akan melakukan pemantauan dan tindakan selanjutnya berhubung perkara itu.

“Saya nak beri amaran tegas bahawa perlakuan seperti itu akan memberi kesan buruk kepada negara dan aspek keselamatan.

“Tindakan peniaga-peniaga asing haram itu telah mengganggu peniaga-peniaga tempatan yang sah.

“Jadi ini adalah perkara yang kita hendak elakkan daripada berlaku. Namun sebaliknya, apabila pegawai kita hendak menjalankan tugas, mereka dihalang,” katanya.

Ujar beliau lagi, pihaknya juga menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Menghalang pegawai dan penjawat awam daripada menjalankan tugas adalah satu kesalahan.

“Kita dapat maklumat warga asing itu mendapat sokongan daripada segelintir warga tempatan di sana.

“Mereka ini datang ke negara dengan menggunakan pas sosial tetapi berniaga pula. Ia salah dari segi undang-undang. Disebabkan itu kita mengambil tindakan kepada mereka, namun dihalang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-48 Peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Semalam tular di media sosial bahawa kira-kira 50 anggota penguatkuasa Imigresen Selangor telah dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh ahli jawatankuasa kuil Batu Caves.

Selain itu, para penguatkuasa juga dikatakan telah dicemuh dengan bahasa kesat.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dilaporkan akan membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");