Berita Hari Ini

Irwan Serigar Beri Keterangan Kes SRC International Najib Esok

BEKAS ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah akan memberi keterangan esok sebagai saksi pembelaan Najib Razak, mahkamah dimaklumkan hari ini.

Selepas keterangan saksi kedua, bekas pengurus AmBank Krystle Yap tamat hari ini, peguam Harvinderjit Singh memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang Irwan, 62, akan memberi keterangan esok.

Irwan minta dibicarakan bersama-sama Najib pada 25 Oktober 2018 untuk enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion milik International Petroleum Investment Company (IPIC). Kes itu masih belum dibicarakan.

Irwan dilantik sebagai pengerusi 1MDB pada 31 Mei 2016. Bersama-sama dua lagi pengarah, Irwan mengambil alih lembaga pengarah 1MDB selepas ahli lembaga sebelum itu beramai-ramai meletak jawatan susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen (PAC) tentang dana pelaburan bermasalah itu pada 2016.

Laporan mendedahkan kelemahan tadbir urus 1MDB tetapi tidak menyalahkannya ke atas perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, Najib.

Najib selaku menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkuasa menyelia dana itu.

Setahun kemudian, Irwan dilantik sebagai pengerusi Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia, kedua-duanya milik 1MDB.

Ketika mentadbir lembaga 1MDB, dana itu mencapai persetujuan penyelesaian berjumlah AS$1.2 bilion dengan IPIC di London berkaitan dakwaan IPIC bahawa anak syarikatnya Aabar Investments PJS tidak pernah menerima bayaran hutang AS$3.5 bilion dibuat 1MDB.

Jumlah itu adalah hasil daripada dua bon berjumlah AS$1.75 bilion setiap satu diuruskan oleh Goldman Sach dengan jaminan IPIC kepada 1MDB untuk menjana dana bagi pembelian aset berkaitan industri tenaga.

Irwan mahupun CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak pernah menjelaskan rasional penyelesaian dengan IPIC untuk kehilangan AS$3.5 bilion itu.

Sebelum menjadi ketua setiausaha perbendaharaan pada Ogos 2012, Irwan adalah pegawai di Unit Perancang Ekonomi daripada 1984-2003. Jawatannya sebelum itu di Kementerian Kewangan adalah di unit ekonomi.

Sepanjang menerajui MoF, Irwan menjadi pengerusi atau pengarah sekurang-kurangnya 20 buah syarikat termasuk syarikat berkaitan kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");