Panasnya Hari Ini

Isu Peralihan Kuasa Boleh Selesai Setengah Jam, Kata Anwar

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) esok tidak akan memberi tumpuan terhadap isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Sebaliknya beliau berkata, perbincangan akan lebih fokus kepada isu pembangunan ekonomi negara.

“Ya peralihan kuasa memang sebahagian daripada perjanjian. (Tapi) ia boleh diselesaikan dalam setengah jam.

“Fokus (perbincangan) adalah pada ekonomi,” katanya ketika ditemui media pada Symposium ‘The Construct Of A Nation: As I See It’ anjuran Help University di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar mengulangi kenyataan bahawa tiada siapa yang wajar diberi tekanan dalam isu peralihan kuasa setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan ia berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Baik saya mahupun Dr Mahathir, kedua-dua kita dan Majlis Presiden PH telah membuat keputusan bahawa perubahan (peralihan kuasa) itu harus dilakukan secara tenang dan teratur dan kita masih tetap bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan menetapkan tarikh spesifik bagi peralihan kuasa tersebut, Anwar berkata, tiada tarikh ditetapkan namun perkara itu akan dibincangkan bersama.

Sementara itu, dalam reaksi balas berkenaan kenyataan dikeluarkan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Rais Yatim yang mendakwa rancangan peralihan kuasa mungkin tidak berjalan seperti dirancang, Anwar menyifatkan ia hanya pandangan peribadi.

“Itu tidak penting. Saya tak ambil tahu. Saya berpegang pada ketetapan dalam perbincangan saya bersama Dr Mahathir tentang peralihan kuasa. Saya teruskan dengan itu,” katanya.

Terdahulu Rais menerusi Twitter rasminya hari ini memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang berjalan di belakang tabir akan menjadi penghalang rancangan peralihan kuasa seperti yang dirancang PH.

Rais juga berkata, sesuatu mungkin berlaku sebelum November.

Peralihan kuasa Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Anwar dijangka berlaku selepas APEC pada November depan sebagaimana yang dijanjikan Dr Mahathir lapor Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");