Berita Hari Ini

Kalau Syed Saddiq Hendak Kembali Kepada PH, Silakan

KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu bertanya kepada dirinya sendiri angkara siapa punca keadaan politik dan negara menjadi huru hara seperti yang berlaku sekarang ini.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya menuding jari meletakkan kesalahan itu kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).

“Buat saudaraku Syed Saddiq, benar rakyat resah dan gelisah akibat krisis politik yang menyebabkan negara tidak stabil dan ekonomi tergugat.

“Saudara patut tanya kenapa perkara ini berlaku kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.

“Semuanya angkara kerakusan dan ketamakan (PH) untuk berkuasa, berebut jawatan Perdana Menteri sejak awal berkuasa sehingga runtuhnya kerajaan PH secara rasmi,” katanya dalam kenyataan yang dirakamkan di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, memang benar rakyat berhak untuk menikmati kehidupan dalam negara yang lebih baik, sebab itu pemimpin UMNO, BN dan MN bersetuju untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dengan pembubaran Parlimen,

Namun, kata beliau, mereka menjujung hormat titah Yang di-Pertuan Agong  agar semua pemimpin parti politik berbincang supaya dapat dielakkan (pilihan raya umum) kerana masalah yang lebih besar.

“Sebab itulah kami berjiwa besar, sanggup menyokong Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri, tetapi kami tidak akan sesekali bersengkokol dengan pemimpin yang bab kata pepatah, ayam berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

“Saudara, kalau saudara kembali kepada mereka (PH) yang kononnya pejuang  rakyat, tetapi menipu rakyat, kononnya bersih, tetapi hakikatnya penuh dengan rasuah, di mana kes rasuah terowong  boleh ditarik begitu saja oleh bekas Peguam Negara?

“Justeru, kalau saudara nak kembali kepada mereka, silakan, tetapi nasihat saya, daripada hidup bercerminkan bangkai lebih baik berkalang tanah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");