Perak Hari Ini

‘Kenapa Mesyuarat Bersatu Beruas Diadakan Pada Isnin?’

BERUAS: Sebilangan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Beruas mendakwa mereka menerima surat panggilan untuk hadir ke persidangan cawangan-cawangan yang dijadualkan esok lewat.

Malah dikatakan kira-kira 200 ahli Bersatu di bahagian yang sama turut mendakwa tidak menerima sebarang surat panggilan tersebut.

Wakilnya, Mazlan Abdul Ghani juga mempersoalkan hanya sebahagian ahli sahaja yang menerima senarai nama-nama ahli dan lokasi cawangan sementara yang lain berlaku sebaliknya.

Katanya perkara-perkara itu telah menyukarkan sebilangan ahli parti untuk menyemak status dan kedudukan cawangan masing-masing.

“Sehingga hari ini, senarai ahli yang layak mengundi tidak dipamerkan secara umum dan ramai ahli tidak tahu di mana cawangan yang harus mereka hadiri persidangan untuk pemilihan parti.

“Selain itu, surat panggilan mesyuarat tidak sampai kepada ahli dan kebanyakan surat itu sampai lewat kepada kami.

“Surat ditandatangani oleh Pemangku Ketua Bahagian Beruas pada 9 Februari ini tetapi disampaikan kepada saya melalui aplikasi WhatsApp pada 14 Februari.

“Hanya empat hari sebelum tarikh mesyuarat dijadualkan berlangsung,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mazlan turut mempersoalkan penetapan tarikh persidangan di Beruas yang dijadualkan pada esok.

Katanya selain Beruas merupakan satu-satunya bahagian yang mengadakan persidangan pada 17 Februari, tarikh tersebut juga dirasakan tidak sesuai memandangkan kebanyakan ahli perlu bekerja dan kemungkinan gagal hadir ke persidangan.

Oleh sebab itu beliau meminta agar tarikh persidangan Bersatu Beruas dipinda kepada tarikh yang sesuai khususnya pada hari hujung minggu.

“Kami berharap perkara ini sampai ke pengetahuan Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan kami mendesak agar parti di peringkat pusat dan negeri dapat mengambil tindakan drastik untuk menggantung Bersatu Beruas atas kepincangan ini,” katanya.

Walau bagaimanapun beliau yang menyertai Bersatu pada 2016 itu menyeru agar mana-mana ahli Bersatu Beruas yang berkesempatan dapat hadir ke persidangan esok.

Sementara itu, Ahmad Nizam Ibrahim yang juga ahli Bersatu Beruas berkata sekiranya tidak ada sebarang tindakan diambil, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memanjangkan isu tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam masa terdekat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");