Berita Hari Ini

Keputusan Jabatan Peguam Negara didakwa timbulkan ‘contoh ikutan’ berbahaya

KUALA LUMPUR: Tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) membenarkan pendakwaan dihentikan terhadap 12 tertuduh yang menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) didakwa menimbulkan ‘contoh ikutan’ berbahaya dalam pengendalian perbicaraan jenayah.

Keputusan itu juga dikatakan dibuat tanpa pertimbangan secara telus berdasarkan faktor di Malaysia, selain didakwa melangkaui kuasa eksekutif kerana LTTE masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di negara ini dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataannya juga gagal menzahirkan sokongan polis terhadap keputusan berkenaan.

Katanya, persoalan sama ada berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam susulan keputusan itu juga timbul, selain kemampuan Tommy menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai pendakwa raya boleh dipersoal.

“Kita tidak tahu sama ada Tommy pernah menasihati Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan LTTE daripada senarai ini (pertubuhan pengganas) sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Bagaimanapun, Tommy secara unilateral (sebelah pihak) membuat kesimpulan LTTE bukan pertubuhan pengganas.

“Ia sangat serius kerana membabitkan keselamatan negara. Adakah keputusan Tommy ini membawa implikasi semua tahanan Daesh juga perlu dilepaskan?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, AGC membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 tertuduh yang sedang berdepan pendakwaan menyokong LTTE selepas mendapati tiada prospek jelas untuk mensabitkan dengan mana-mana daripada 34 pertuduhan dihadapi mereka.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Zainul Rijal juga mempersoal sama ada keputusan itu dibuat susulan penolakan dua Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Zaini Mazlan dan Collin Lawrence Sequerah terhadap cabaran kepada keabsahan Sesksyen 13 SOSMA di sisi Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Sequerah menolak ikat jamin tertuduh kes LTTE.

Beliau turut mempersoal kenyataan Tommy pertuduhan yang dibuat pada 29 Oktober lalu itu sudah terlalu lama dan tidak berkepentingan awam, sedangkan tiada batasan masa dalam undang-undang jenayah bagi mendakwa seseorang.

Seksyen 6 Akta Had Masa 1953 menyatakan tindakan tidak boleh diambil selepas tamat tempoh enam tahun dari tarikh kausa tindakan terakru bagi kes mengenai kontrak dan tort (kes salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil) dan bukan kes jenayah.

“Kita berharap Tommy tidak terkhilaf membaca peruntukan ini. Bagaimanapun, persoalan lebih besar ialah mengapa pada 29 Oktober lalu mereka dituduh, tetapi semalam ia ditarik balik, dalam tempoh kurang dari empat bulan?

“Apakah pertimbangan ketika mengemukakan dan menarik balik pertuduhan? Kenapa keputusan drastik dibuat dalam tempoh tidak sampai empat bulan? Keputusan ini sudah mencalar integriti dan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pendakwa kes terbabit,” katanya.

Beliau juga berpandangan mana-mana pihak berkepentingan perlu membuat tindakan mahkamah bagi mencabar keputusan Tommy yang sekali gus muncul sebagai isyarat supaya AG tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa beliau tanpa pertimbangan undang-undang yang betul.

Ini kerana katanya, kuasa AG dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan boleh dipersoal berdasarkan keputusan beberapa kes terdahulu, sekali gus menjelaskan ia bukanlah sepenuhnya bersifat ‘non justiciable’ (tidak boleh diadili).

“Tindakan Tommy ini dan beberapa siri tindakan beliau sebelum ini menzahirkan ketidakmampuan beliau menggalas tanggungjawab sebagai AG dan Pendakwa Raya. Pada hemat PPMM adalah lebih baik beliau mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan secara terhormat,” katanya.

Sebelum ini, bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Asia Antarabangsa (Malaysia) (AIAC), Prof Datuk N Sundra Rajoo berjaya dalam permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan AG atas tiga kesalahan jenayah pecah amanah membabitkan nilai lebih RM1 juta, pada 31 Disember lalu.

Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan kuasa AG di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan boleh dipersoal melalui permohonan semakan kehakiman.

Beliau juga membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan seorang pemandu, Yew Wei Liang yang dituduh atas kesalahan membunuh ketika memandu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");