Perak Hari Ini

Kerahsiaan Negara Masih Terpelihara

IPOH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa segala kerahsiaan negara tetap terpelihara daripada bocor kepada pihak asing.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun Malaysia merupakan antara 120 negara yang menggunakan peralatan pengekodan Crypto AG namun, ia tidak melibatkan sebarang bentuk penyebaran maklumat rahsia sulit negara.

“Saya ada berbincang dengan Ketua Polis Negara dan KDN agar kita menggunakan teknologi ini bukan untuk tujuan menyebarkan segala bentuk maklumat rahsia negara.

“Kita ada langkah tertentu yang diambil dalam memastikan tiada sebarang data penting yang boleh tersebar daripada batas agensi keselamatan negara kita.

“Penggunaan teknologi ini bukan baharu, sebaliknya sudah lama. Namun yang penting ialah kita sentiasa melaksanakan kawalan-kawalan kerahsiaan negara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-48 Peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan perkara tersebut selain menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menggunakan peralatan itu terhad kepada pelaksanaan operasi jangka pendek.

“Kegunaan ia bagi PDRM hanya terhad kepada perkara yang bukan melibatkan maklumat sulit sebaliknya ia digunakan bagi tujuan komunikasi bagi operasi-operasi jangka pendek yang terhad.

“Jadi seperti dikatakan Menteri, kita tidak menggunakannya bagi operasi-operasi penting dan yang melibatkan jangka masa panjang,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Perkhidmatan Perisikan Jerman (BND) secara rahsia memiliki sebuah syarikat Switzerland yang digunakan banyak kerajaan untuk menghantar kod komunikasi sulit sejak sekian lama.

Dilaporkan Crypto AG digunakan lebih dari 120 negara dan antara pelanggan syarikat itu adalah Iran, India, Pakistan dan Vatican.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");