Berita Hari Ini

Kes Belasah Pelajar, 12 Ditahan

PASIR MAS: Polis menahan 12 pelajar yang disyaki terbabit dalam kes memukul seorang pelajar Tingkatan Tiga sehingga lebam pada bahagian muka dan badan di sebuah sekolah di daerah Pasir Mas, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 17 tahun.

“Sembilan daripada mereka ditahan di sekolah terbabit pada 5.30 petang semalam selepas mangsa membuat laporan.

“Dua lagi ditahan di rumah masing-masing, manakala seorang lagi hadir menyerah diri di balai polis,” katanya.

Mohamad Roy berkata, pihaknya menerima laporan pada 2.30 petang dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menggerakkan usaha mengesan semua suspek.

“Ujian saringan air kencing ke atas kesemua pelajar mendapati semuanya negatif,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan polis sedang mengesan sekumpulan 12 pelajar dari dua sekolah di Pasir Mas, bagi membantu siasatan pelajar lelaki berusia 15 tahun yang lebam di muka dan badan selepas dipukul, dipercayai berebut teman wanita, pada 6 petang, Ahad lalu.

Mangsa dipercayai dipukul di dalam kelas selepas aktiviti sukan di sekolahnya dan terdapat rakaman video itu yang juga tular di media sosial sebelum mangsa membuat laporan polis, semalam.

Mohamad Roy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh memetik HMetro.

“Kami akan menyiapkan kertas siasatan dengan kadar segera untuk diberikan kepada pihak timbalan pendakwa raya.

“Saya berharap kejadian sebegini tidak berlaku terutama dalam kalangan pelajar dan pihak polis akan mengambil tindakan tegas jika ia masih berleluasa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");