Berita Hari Ini

Kes dikaitkan Dengan Daesh Juga Perlu Dikaji Semula, Kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Jabatan Peguam Negara perlu mengkaji semula pendakwaan dan hukuman yang dikenakan terhadap individu dikaitkan dengan militan Daesh bagi kes-kes kecil.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pengguguran pendakwaan individu yang didakwa mempunyai kaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ditanya pemberita mengenai pendakwaan terhadap individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan IS, Anwar berkata: “Itu saya setuju (kaji semula), maknanya kalau kita anggap hukuman itu agak tak setimpal dengan kesalahan atau pendakwaan itu terlalu keras, kita boleh kaji semula.

“Saya telah suarakan kepada pihak berkenaan termasuk menteri dalam negeri, ada tahanan ISIS (Daesh) yang tidak dipastikan kaitannya dengan gerombolan pengganas atau keganasan.”

“Tetapi ini soal siasatan polis dan rujukan kepada peguam negara. Perkara ini perlu disegerakan,” katanya sambil menambah bahawa beliau secara tegas tetap menolak sebarang bentuk keganasan yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Anwar ditemui pemberita selepas Himpunan Enam Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi, hari ini.

Mengulas mengenai pembebasan 12 yang dikaitkan dengan LTTE, Anwar berkata peguam negara telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan memetik MKini.

Bagaimanapun berdasarkan pengalamannya di dalam penjara, anggota Parlimen Port Dickson itu berkata ada tahanan Daesh yang ditahan kerana membabitkan kes kecil.

“Tapi ada kes yang dilaporkan dan yang saya jumpa ketika saya di penjara Sungai Buloh, yang saya anggap kes itu kesalahan kecil, (menyimpan) baju atau sokongan atau derma kepada jiran.

“Saya fikir cukuplah dengan hukuman yang ada sekarang, saya gesa perkara ini dikaji semula dan diberi pertimbangan yang sama seperti pertimbangan dibuat kepada tahanan LTTE,” katanya.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk memberhentikan prosiding terhadap 12 individu dalam perbicaraan yang sebelum ini didakwa terlibat dengan LTTE.

Dalam kenyataan media sepanjang 11 muka surat, Thomas berkata tema umum kesemua 12 individu tersebut adalah mereka hanya memiliki gambar pemimpin LTTE, seperti Velupillai Prabhakaran yang terbunuh semasa perang saudara di Sri Lanka pada 2009, sama ada di telefon atau Facebook.

“Sekiranya perbuatan sedemikian boleh terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang di tempat yang tidak dihormati.

“Namun walaupun berkemungkinan terdapat elemen-elemen ‘perbuatan pengganas’ di pihak kesemua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE dengan memiliki, mengedar atau memaparkan gambar-gambar tersebut atau Prabhakaran, ia adalah mustahil bagi pendakwaan untuk membuktikan bahawa mereka tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan yang mana ia sekadar terjumlah ‘sokongan, bantahan atau pertentangan pendapat’,” katanya.

Antara 12 yang ditangkap itu adalah dua Adun DAP – P Gunasekaran (Seremban Jaya) dan G Saminathan (Gadek).

Untuk rekod, pada 26 April 2017 menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pelajar Universiti Malaya (UM), Siti Noor Aishah Atam.

Noor Aishah yang ketika itu berusia 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara tersebut selepas didapati bersalah memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Mahkamah turut memerintahkan 12 buku berkaitan kumpulan pengganas Daesh, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI) dilucutkan hak kepada kerajaan untuk dilupuskan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");