Berita Hari Ini

Konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ Perlu Difahami Dengan Jelas Bagi Mengelak Manipulasi

KUALA LUMPUR – Konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ perlu difahami dengan jelas dari segi maksudnya bagi mengelak ia dimanipulasi oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata maksud kontekstual, sama ada menerusi wahyu serta agama, dan juga dari aspek pelaksanaan, adalah antara kunci utama mewujudkan kefahaman yang lebih baik terhadap konsep itu.

“Kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab sering salah tafsir terma yang digunakan dan meremehkan amalan konsep ini dalam masyarakat,” katanya semasa berucap di majlis makan malam sempena kunjungan Setiausaha Agung Komanwel Baroness Patricia Scotland di sini malam tadi, lapor Bernama.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Mujahid berkata bahagian yang paling mencabar dalam penampilan konsep ini adalah ketika berhadapan dengan dua kumpulan yang ‘ekstrem’ di pihak yang berbeza pandangan, yang sering bertelagah antara satu sama lain.

“Dalam amalannya, ia memerlukan pendekatan seimbang yang secara konsisten memberi tumpuan kepada nas-nas (bukti undang-undang Islam) dan ‘maqasid syariah’, tetapi pada masa yang sama tidak meminggirkan perdebatan kontekstual dan situasi semasa yang dihadapi negara,” katanya.

Turut hadir majlis malam ini ialah pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Scotland adalah Setiausaha Agung Komanwel ke-enam, dan merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Beliau berada di Malaysia untuk lawatan kerja tujuh hari mulai Ahad lepas, atas jemputan MAIWP.

Komanwel merupakan perkumpulan sukarela 54 negara, termasuk negara maju dan sedang membangun seperti Malaysia, dengan penduduk keseluruhannya berjumlah kira-kira 2.4 bilion orang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");