Sukan Hari Ini

KRM Rancang Bawa Jurulatih Dari New Zealand Kemudi Pasukan 7s

KUALA LUMPUR – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) merancang untuk melantik seorang tenaga pakar asing untuk memantapkan pasukan 7-sebelah (7s) negara, kata presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti seorang jurulatih dari New Zealand dan sedang mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), selepas melantik bekas pemain All Blacks, Brad Mika sebagai ketua jurulatih pasukan 15s pada 2018.

Shahrul berkata usaha itu merupakan antara langkah KRM menerusi Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP), yang bervisi untuk melayakkan skuad 15s ke Piala Dunia 2031 dan skuad 7s ke Sukan Olimpik 2028.

“Kita akan teruskan perbincangan pada minggu depan dan cuba memuktamadkan peracangan itu. Pelaksanaan NRDP adalah manifestasi ke arah Piala Dunia dan Olimpik,” katanya kepada pemberita tanpa mendedahkan individu tersebut selepas majlis kolaborasi bersama Yayasan Sime Darby (YSD) sempena Karnival NRDP di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini, lapor Bernama.

Menerusi kolaborasi itu, YSD menyumbangkan RM1.4 juta untuk tempoh 18 bulan bagi membantu KRM membangunkan pasukan bawah-19 dan 20 negara, untuk menutup jurang di antara peringkat junior dan senior kerana NRDP hanya menyokong pemain di antara 12-18 tahun.

“Dengan sokongan dari YSD ini, kita boleh wujudkan dua pasukan dengan 30 pemain setiap satu untuk bantu transisi ke skuad kebangsaan. Ia bakal menjadi platform untuk pemain-pemain ragbi negara terus kompetitif dan akhirnya Insyallah dapat masuk ke pasukan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi YSD, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata pihaknya sedia meneruskan sokongan itu, jika KRM membuktikan kejayaan untuk muncul sebagai kuasa besar ragbi di Asia.

“Matlamat kami adalah membolehkan Malaysia menjadi antara tiga negara ragbi terbaik di Asia, selain menggalakkan bakat wanita dalam sukan Malaysia. Oleh itu, kami berbangga menyokong kategori wanita bawah 20, termasuk membiayai aktiviti mencari bakat untuk mengenal pasti 21 pemain berbakat untuk dilatih dan dibangunkan dalam NRDP,” katanya.

Edisi keempat karvinal selama dua hari itu, menyaksikan penyertaan 180 pasukan sekolah rendah, menengah dan kelab komuniti dalam enam kategori peringkat umur bagi lelaki dan empat kategori bagi wanita. Karnival itu juga merupakan kejohanan pemilihan ke pasukan B-19 dan B-20 NRDP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");