Berita Hari Ini

Kumpulan Kedua Rakyat Malaysia Dari Wuhan Pulang Selasa Ini

VIENTIANE: Malaysia akan membawa pulang kumpulan kedua rakyat Malaysia dari Wuhan, China pada Selasa depan, susulan penularan wabak COVID-19 di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata terdapat kira-kira 77,000 rakyat Malaysia di China, namun beliau tidak memaklumkan jumlah yang akan dibawa pulang ke tanah air melalui kumpulan kedua itu.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih (kepada Kerajaan China) atas bantuan yang diberikan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.

“Satu lagi trip (membawa pulang rakyat Malaysia) pada 25 Februari ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China mengenai Penyakit Koronavirus (COVID-19) di sini, lapor BH Online.

Pada 4 Februari lalu, sejumlah 107 rakyat Malaysia dan ahli keluarga dibawa pulang dari Wuhan, China dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan kerajaan.

Mereka dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai untuk menjalani pemantauan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 18 Februari, selepas tempoh kuarantin tamat.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar China, Wang Yi dan Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin.

Pada pertemuan bersama Menteri Luar China ketika mesyuarat khas, Saifuddin berkata, beliau turut memberi jaminan bahawa pejabat perwakilan Malaysia di China akan beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Saifuddin berkata, larangan perjalanan sementara rakyat China dari Wuhan, Hubei masih diteruskan.

“Kita lihat perkembangan terkini di China dari semasa ke semasa. Sebarang pengumuman akan dibuat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");