Berita Hari Ini

Mahdzir Tolak Cadangan Beliau Tidak Konsisten

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mempertahankan dirinya di mahkamah apabila barisan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan bahawa keterangannya di Mahkamah Tinggi sebagai tidak konsisten.

Terdahulu, suasana di prosiding perbicaraan kes rasuah yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu bertukar panas apabila peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah mencadangkan bahawa Mahdzir tidak konsisten dalam keterangannya di mahkamah.

Mendengar perkara itu, Mahdzir berkata, “Dari awal lagi tuan nak buat macam itu (menunjukkan saksi tidak konsisten)“

Jagjit: Sampai mati pun saya akan teruskan.

Mahdzir: Jangan la sampai mati.

Mendengar pertengkaran antara kedua-dua pihak itu, suasana mahkamah yang pada awalnya tegang, bertukar ceria dan mengundang gelak tawa daripada semua pihak yang berada di mahkamah.

Pada prosiding itu juga, pembelaan mencadangkan bahawa Pengarah Urusan JEPAK Holdings (JEPAK), Saidi Abang Samsudin dan rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah adalah kroni Mahdzir.

Bagaimanapun, Mahdzir tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan dan memaklumkan Rayyan adalah rakan kongsi kepada Saidi.

Jagjit: Kenapa tiada dalam pernyataan bertulis? Anda baru kata Rayyan adalah wakil JEPAK, selain itu, ada beritahu yang Rayyan kroni anda?

Mahdzir: Bila masa mereka kroni saya? Tidak setuju.

Jagjit: Anda ambil duit daripada mereka, maka mereka adalah kroni.

Mahdzir: Tak setuju.

Mahdzir juga membantah cadangan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader bahawa beliau mahu menjadikan Najib sebagai ‘kambing hitam’ dalam kes solar hibrid.

Jagjit kemudian menyambung soalnya dengan meminta Mahdzir mengesahkan bahawa beliau memberi keterangan di mahkamah untuk mengelak daripada didakwa sekiranya membantu pihak Pejabat Peguam Negara dengan menjadi saksi dalam kes itu.

Mendengar soalan itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, bertanya kenapa mengulangi soalan sama?

Pada prosiding sebelum ini, soalan itu pernah ditanya oleh Jagjit dan Akberdin. Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, sejak Khamis lalu.

Zaini kemudian bertanya berapa lama lagi diperlukan untuk menyoal balas Mahdzir.

“Tidak terlalu lama,” kata Jagjit.

Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan untuk rehat, bagaimanapun, sebaik mahkamah mula bersurai, Rosmah dilihat enggan meninggalkan kandang tertuduh dan mahu prosiding diteruskan sehingga jam 2 petang seperti kebiasaannya.

Sebelum ini, prosiding perbicaraan kes berakhir pada jam 2 petang dengan alasan Rosmah perlu pulang ke rumah untuk berehat dan mengambil ubat.

Bagaimanapun, Zaini di akhir prosiding kes itu semalam, mengingatkan bahawa perbicaraan berkenaan akan didengar sepanjang hari.

Melihat keengganan Rosmah meninggalkan mahkamah, peguam belanya memohon membuat prosiding singkat di hadapan Zaini di mahkamah terbuka bagi menangguhkan perbicaraan pada sebelah petang.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan perbicaraan bersambung pagi esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");