Berita Hari Ini

Malaysia Jangan Gentar Bangkitkan Isu Tarif Air Singapura

SHAH ALAM: Malaysia tidak perlu gentar untuk terus berjuang menyemak semula kadar tarif air dengan Singapura, walaupun negara itu sering mengheret perkara lain dalam isu itu.

Perkara itu disuarakan pensyarah undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir yang melihat Singapura sering mengalihkan isu semakan semula tarif air tiga sen segelen yang termaktub dalam Perjanjian Air 1962 dalam satu pakej perbincangan antara dua negara.

Katanya, selepas Malaysia membangkitkan isu harga air, Singapura terus menaikkan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) dan ‘mengugut’ mengenai Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pekerja Malaysia di negara itu.

Namun, beliau menaruh kepercayaan Malaysia tidak akan putus asa untuk terus berunding dalam isu air.

“Sering kali apabila dibangkitkan isu perjanjian air ini termasuk melihat semula kadar tarif, Singapura mahu ia dibincangkan dalam satu pakej bersama isu yang lain.

“Ini strategi Singapura dan Malaysia tidak perlu gentar untuk terus berunding. Ini ada isu mengenai hak dan kedaulatan negara.

“Selagi boleh, kena teruskan rundingan dan jika tiada penyelesaian boleh dibawa ke mahkamah timbang tara,” katanya dalam Wacana Sinar di sini, semalam, lapor BH Online.

Wacana itu dikendalikan moderator, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Turut menjadi panel, Pengerusi Kongres Rakyat Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Felo Penyelidik Kanan, Institut Sains Bumi dan Samudra Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Salawati berkata, pemimpin Singapura dan Malaysia tidak perlu menggunakan isu perjanjian air untuk mendapatkan sokongan politik di negara masing-masing.

Beliau juga mengingatkan sarjana dari republik itu tidak membuat ulasan isu air dengan mengaitkan isu dalam negara jiran.

“Ada satu tulisan oleh sarjana di Singapura menyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan mengenai harga air kerana Malaysia sudah miskin dan kerajaan tiada duit.

“Ini satu kenyataan yang biadap tidak sepatutnya dikeluarkan untuk menyinggung negara jiran.,” katanya.

Beliau menjelaskan Perjanjian Air 1962 boleh dirundingkan semula selepas tamat tempoh kerana ada klausa menyatakan selepas 1987, ia boleh dirundingkan semula.

Sementara itu, Azizan berkata, Singapura perlu menggunakan pendekatan muhibah dalam merundingkan isu dengan negara jiran, termasuk hal berkaitan air.

“Kegagalan bermuhibah dengan Malaysia dan Indonesia yang kini ekonominya sedang meningkat naik hanya merugikan negara itu pada masa depan.

“Hari ini Singapura boleh buat macam-macam untuk elak bincang isu tarif air tetapi mereka akan tersepit jika ia tidak diselesaikan dalam waktu terdekat, terutama mengambil kira senario geopolitik semasa dan kebangkitan penggabungan ekonomi Malaysia-Indonesia,” katanya.

Khairul Faizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, rakyat membangkitkan pandangan dalam isu Perjanjian Air 1962 supaya terus mendapat perhatian kerajaan Malaysia dan Singapura.

Dalam masa yang sama, beliau menyarankan kerajaan tidak berhenti berbincang isu air .

“Perbincangan perlu diteruskan. Jangan kita berhenti seperti dilakukan pada 1998 hingga 2002. Rakyat Johor kena mulakan buat gerakan supaya isu air ini terus dibincangkan dan media bantu kerana ini sangat serius membabit kedaulatan negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");