Berita Hari Ini

MP PKR Naik Bas Dua Tingkat Ke Istana Negara

Jika semalam ahli Parlimen PAS dan Umno menaiki bas untuk ke Istana Negara, hari ini giliran ahli Parlimen PKR pula menaiki bas dua tingkat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bas itu tiba di Pintu 2 Istana Negara pukul 10:40 pagi dan antara yang kelihatan ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, ahli Parlimen Selayang William Leong dan ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Turut mengiringi bas itu 10 buah kenderaan yang dipercayai turut membawa ahli parlimen parti berkenaan.

Mereka kemudian disambut dengan laungan ‘reformasi’ oleh sekumpulan penyokong parti itu yang telah berkumpul di luar kawasan pagar Istana Negara sejak 9.00 pagi.

Sebelum itu, kenderaan dinaiki oleh ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik antara yang terawal dilihat memasuki kawasan Istana Negara pada 9.40 pagi diikuti kenderaan dinaiki Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9.48 pagi.

Hari ini, 131 lagi ahli Parlimen dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, untuk menyatakan pendirian menyokong pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Isnin lepas.

Mengikut jadual, sesi pukul 10 hingga 11 pagi akan melibatkan ahli Parlimen daripada Bersatu, PKR daripada kumpulan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim (11 pagi-12.30 tengah hari), Amanah (12.30 tengah hari-1 tengah hari), PKR daripada kumpulan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali (1 tengah hari-1.30 tengah hari), ahli Parlimen dari Sabah (1.30 hari-2.00 petang), DAP (2.00 petang -2.30 petang) dan baki ahli Parlimen lain pada 3.30 petang.

Semalam, 90 ahli Parlimen sudah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai sesi temuduga berkenaan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");