Berita Hari Ini

Mufti titip doa ketika desas-desus pertukaran kerajaan

Ketika pelbagai spekulasi dan kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan di peringkat kerajaan persekutuan serta pensejajaran baru parti politik, Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad menitipkan doa khusus buat Malaysia.

Melalui satu hantaran di Facebook beliau memaparkan satu doa bertulis tangan seperti berikut:

“Bismillahirahmanirrahim. Doaku semoga Allah SWT kurniakan Malaysia sentiasa dalam aman, begitu juga dengan para pemimpin diberi taufiq, hidayah dan sabar.

“Ya Allah berikan kepada kami rasa cintakan negara, kukuhkanlah perpaduan kami.”

Catatan doa tersebut ditulis pada jam 4.45 petang dan katanya ditujukan kepada rakyat, para pemimpin dan negara.

“Ya Allah, kepada-Mu kami berserah dan berharap,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik yang dijangka bermesyuarat hari ini mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.

Para anggota parlimen yang setia kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali disahkan sedang berkumpul di Sheraton Hotel Petaling Jaya.

Turut disahkan Majlis Tertinggi Bersatu sedang bermesyuarat di ibu pejabatnya, yang tidak jauh dari hotel itu.

Para pemimpin dan MP Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka bertemu petang ini di Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Majlis Tertinggi Umno juga dipercayai mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Dalam perkembangan itu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad masih mengunci mulut dan hanya melambaikan tangan kepada pemberita ketika beredar dari ibu pejabat parti di Petaling Jaya, sebentar tadi.

Presiden Bersatu pula, Muhyiddin Yassin dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula enggan mengulas mengenai mesyuarat tersebut. Begitu juga dengan setiausaha agung Marzuki Yahya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");