Membawang Hari Ini
Like

Muhyiddin: Calon Main Politik Wang Hilang Kelayakan Pegang Jawatan

February 1, 2020
256 Views
0 Comments
1 minute read
no-cover

Mana-mana calon dalam pemilihan Bersatu yang didapati terlibat dalam politik wang akan dikenakan hukuman keras seperti hilang kelayakan untuk memegang jawatan, kata presidennya Muhyiddin Yassin.

Selain itu mereka yang melakukan kesalahan itu juga mungkin diumumkan sebagai tidak sah pencalonannya, kata Muhyiddin lagi seperti dipetik Sinar Harian semalam.

“Kalau jawatankuasa pemilihan dapat maklumat hal sebegitu, ia akan dilaporkan kepada lembaga disiplin parti untuk membuat keputusan tertentu sama ada pemilihan mereka itu tidak sah atau sebagainya. Ia akan ditentukan selepas pemilihan.

“Kita pandang serius politik wang dan berharap kesemua calon boleh bertanding secara bersih sebab kita memang menolak amalan rasuah. Sebagai sebuah parti dalam kerajaan, kita nak jauhkannya dan jadi contoh terbaik,” katanya lagi seperti dipetik.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika sidang akhbar di Pagoh, Johor semalam.

Cawangan Bersatu di seluruh negara akan mengadakan persidangan dan pemilihan bermula 25 Januari hingga 1 Mac, diikuti dengan peringkat bahagian pada 4 April.

Perhimpunan agung tahan dan pemilihan kepimpinan tertinggi pula dijadual berlangsung 20 Jun depan.

Setakat ini, sejumlah pemimpin tertinggi parti itu menang tanpa bertanding, antaranya Dr Mahathir Mohamad (untuk jawatan ketua bahagian Langkawi), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Muhyiddin sendiri (Pagoh).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Bersatu akan memperjelas tafsiran politik wang dalam masa terdekat.

“Ia mungkin seperti menawarkan wang untuk sokongan, hantar orang mengerjakan umrah atau lawatan sambil belajar yang dilihat tidak selari dengan semangat demokrasi yang baik,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.