Berita Hari Ini

Mukhriz Dapat Sokongan Kekal Sebagai MB Kedah

ALOR SETAR – Tiada sebarang pertukaran barisan kepimpinan dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah, susulan kemelut politik yang tercetus selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pusat PH hilang kuasa, pada Isnin lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata beliau telah mendapat sokongan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dan PH Kedah, untuk kekal menerajui negeri itu.

“ADUN PH dan Bersatu juga sepakat supaya kerajaan negeri Kedah dikekalkan. Kerajaan negeri hari ini adalah gandingan PH dan Bersatu.

“Kesepakatan ini menjamin urusan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa,” katanya pada sidang media khas di kediaman rasminya di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Terdahulu Mukhriz yang juga ADUN Jitra menghadap Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, di Wisma Darul Aman di sini bagi memaklumkan tentang situasi politik semasa negara dan negeri ini.

Pada pertemuan itu beliau telah mempersembahkan warkah penzahiran 18 ADUN daripada PH dan Bersatu, yang menyokongnya sebagai menteri besar kepada Sultan Sallehuddin.

“Alhamdulillah Tuanku telah berkenaan menerima warkah itu dan memperkenankan agar saya terus memegang jawatan menteri besar Kedah,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu mendapat restu di peringkat pusat, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata Perdana Menteri Interim Tun Mahathir Mohamad telah merestuinya dan perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Bersatu.

Mukhriz juga memaklumkan kedudukan portfolio dan barisan exco kerajaan negeri, tidak akan dirombak buat masa ini.

“Kerajaan yang ada, adalah kerajaan yang sama, cuma satu perbezaannya dulu kerajaan PH, tapi sekarang kerajaan PH campur Bersatu,” katanya.

Mengenai persefahaman yang berbeza antara Bersatu dan PH di peringkat negeri dan pusat, beliau berkata tiada masalah di peringkat negeri dan menjelaskan bahawa sebarang spekulasi tidak wajar timbul.

“Kita sangat berharap polemik politik tidak berpanjangan, kerana ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa… Kalau berpolitik, jangan panjang sangat sampai tak boleh beri perhatian kepada perkara penting diperlukan rakyat.

“Kita harap selepas sesuatu kerajaan tertubuh ia boleh terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata persepakatan antara Bersatu dan PH di Kedah juga tidak berlandaskan apa-apa syarat dan pakatan itu menerima baik pelawaan untuk bersama Bersatu, mentadbir kerajaan negeri.

“Saya ingat keputusan ini memang tepat walaupun (urusan pentadbiran) tergendala sehari dua, saya ingat Kedah paling awal untuk bersepakat, selesai masalah di peringkat negeri,” katanya.- Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");