Berita Hari Ini

Nasib Pekerja MAPS Dibantu

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan membantu 217 pekerja Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) berhubung tuntutan yang layak dibayar kepada mereka akibat diberhentikan kerja susulan penutupan Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak, akhir bulan lalu.

Menterinya, M Kulasegaran, berkata melalui pertemuan dengan pekerja ATP, hari ini, kementerian itu melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapatkan maklumat lanjut berhubung tuntutan semua pekerja berdasarkan Peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955.

“Kementerian Sumber Manusia memberikan usaha terbaik melalui pelbagai mekanisme dalam bidang kuasa kementerian untuk membantu pekerja dan majikan yang terjejas dalam situasi ini.

“Melalui aduan yang dibuat pekerja ATP berdasarkan penamatan pekerjaan mereka, JTK sedang mendapatkan maklumat terperinci pekerja bagi memudahkan penilaian dan pengiraan berhubung tuntutan yang layak dibayar kepada mereka selaras dengan peruntukan dalam Akta Kerja 1955, ” katanya melalui kenyataan, di sini.

Pertemuan yang diadakan itu turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan.

Pada masa sama, Kulasegaran berkata, maklumat pekerja juga akan diberikan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membolehkan tindakan intervansi dalam aspek berkait Akta Sistem Insuran Pekerjaan (EIS) yang berkemungkinan faedah skim itu layak diterima oleh mereka yang terjejas.

Selain itu katanya, pekerja yang terjejas juga digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian dengan portal JobsMalaysia atau berkunjung ke Pusat JobsMalaysia (JMC) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh untuk mendapatkan bantuan JTK dalam prospek khidmat nasihat serta pendaftaran pekerjaan.

“Sehingga kini, seramai 194 daripada 217 pekerja ATP sudah membuat permohonan dengan PERKESO dan sebanyak 126 permohonan diluluskan, ” katanya.

Taman tema MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, ditutup pada 28 Januari lalu dengan notis penutupan dikeluarkan oleh The Receiver and Manager (R&M) Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Taman tema itu beroperasi sejak 27 November 2012 dan mempunyai 217 pekerja yang diberikan notis pemberhentian pada 28 Januari.

Pekerja sudah menerima gaji untuk Januari termasuk bayaran kerja lebih basa bagi Disember 2019 pada 4 Februari lalu.

ATP melalui R&M turut memberikan komitmen untuk melunaskan semua bayaran tertunggak termasuk gaji, pampasan, bayaran cuti tahunan dan faedah pemberhentian dianggarkan berjumlah RM1.2 juta kepada semua 217 pekerja hujung bulan ini.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, kerajaan negeri melalui Perak Corporation turut membantu melaksanakan bayaran tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pihaknya meminta proses ini dikendalikan sepenuhnya oleh R&M yang dilantik memetik laporan BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");