Berita Hari Ini

‘PAKIS Bukan Kongsi Gelap’

SEPANG: Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat (PAKIS) menolak dakwaan kononnya ia adalah kumpulan kongsi gelap dan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Presiden PAKIS, Datuk Abdullah Ghani Kassim, atau lebih dikenali sebagai ‘Ayah Bos’, berkata pihaknya tidak berkecil hati dengan dakwaan terbabit, malah dijadikan semangat untuk beliau dan ahli terus berbakti membantu golongan memerlukan.

“PAKIS mendaftar dengan ROS pada 17 Julai tahun lalu dan mempunyai lebih 5,000 ahli setakat ini.

“Walaupun orang kata kita pertubuhan haram atau kongsi gelap, tidak mengapa. Sebagai manusia yang diamanahkan Allah di muka bumi ini, kita akan terus melangkah dan beramal.

“Segala apa yang berlaku biar Allah tentukan, saya tidak kecil hati sebaliknya mengambil perkara itu sebagai semangat serta cabaran untuk menonjolkan kebaikan,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum menghantar lebih 100 ahli PAKIS menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Abdullah berkata, selepas tersebarnya berita penahanan ahlinya baru-baru ini, permohonan untuk menjadi ahli PAKIS semakin meningkat sehingga terpaksa membuat saringan sebelum meluluskan kemasukan.

Setakat ini, beliau mendakwa lebih 13,000 permohonan ditapis untuk menjadi ahli kerana tidak mahu ahli berkenaan terbabit dengan jenayah atau dadah.

“Selepas dakwaan baru-baru ini, saya mendapat nasihat daripada rakan lalu menggunakan sedikit simpanan bagi membeli van dijadikan van jenazah percuma kepada orang Islam.

“PAKIS akan terus memberi tumpuan membantu golongan asnaf, warga emas, ibu tunggal dan sekolah tahfiz. Kami mengalukan mereka yang ingin mendapatkan bantuan supaya tampil untuk dibantu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 114 individu dipercayai ahli PAKIS termasuk ‘Ayah Bos’ ditahan polis dalam serbuan di Jalan Genting Klang.

Dalam serbuan itu, kumpulan terbabit dipercayai bersiap-sedia untuk menyertai majlis angkat sumpah di sebuah premis.

Polis turut merampas empat bilah pedang, kayu cota, buku borang pendaftaran ahli Badan Amal Tarbiyah Sejagat Malaysia serta enam al-Quran dan sejadah, dipercayai bagi tujuan majlis angkat sumpah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");