Berita Hari Ini

Pemandu Treler Sebabkan Kematian Empat Sekeluarga Di Sungai Siput Didakwa

SUNGAI SIPUT – Seorang pemandu treler dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga pada 13 Feb lepas.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan, tiada pengakuan direkodkan daripada, Y. Vethri Vel, 26, kerana tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu treler bernombor pendaftaran WUA 5761 dan T/BD6993 secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga iaitu Mohamad Faiz Bakhari, 28, isterinya Nik Iedayu Nik Hassan, 30, anak pasangan itu Mohamad Faqih Irsyad yang berumur 16 bulan serta adik Nik Iedayu, Nik Ifeka, 27 tahun.

Tertuduh yang berasal dari Kedah didakwa melakukan kesalahan itu di KM37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, kira-kira pukul 10.20 malam, pada 13 Feb.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk setiap pertuduhan, bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norlida Ishak yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan pemandu berkenaan menyara kedua ibu bapanya selain tiga adik termasuk seorang yang masih bersekolah.

Norhabsarina dalam keputusannya bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes dan melantik seorang jurubahasa.

Sebelum ini, media melaporkan empat sekeluarga maut selepas sebuah treler membawa muatan bahan binaan terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan dan menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang dinaiki kesemua mangsa.

Kemalangan itu turut menyebabkan anak sulung pasangan suami isteri yang maut, iaitu Mohamad Fariz Iskandar, 3, mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");