Perak Hari Ini

Pemilihan Bersatu Perak: Dua Bahagian Hadapi Pertandingan Sengit

IPOH: Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak di Bahagian Bagan Serai dan Lumut bagi merebut jawatan ketua bahagian, bakal menyaksikan pertandingan lebih daripada dua penjuru.

Pemilihan yang dijadualkan bermula 15 Februari ini nanti akan menyaksikan pertandingan lima penjuru di Bagan Serai manakala empat penjuru di Lumut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Perak, Saiful Adli Mohd Arshad berkata daripada 24 bahagian di negeri ini, kesemua 15 bahagian bakal menyaksikan pertandingan bagi merebut jawatan ketua bahagian masing-masing.

Selain itu katanya, daripada kesemua bahagian itu, lima Bahagian Bersatu Perak menyaksikan tiada sebarang pertandingan di semua peringkat jawatankuasa iaitu di Tambun, Bagan Datuk, Batu Gajah, Ipoh Timor serta Padang Rengas.

Jika sebelum ini diumumkan hanya enam ketua bahagian yang menang tanpa bertanding, namun dalam sidang media di Pejabat Bersatu Perak hari ini, Saiful turut mengumumkan satu lagi bahagian yang menyaksikan jawatan ketuanya tidak ada pertandingan iaitu bahagian Ipoh Timor.

“Pada asalnya ada calon yang masuk bertanding, namun selepas disaring didapati ahli tersebut bukan daripada bahagian Ipoh Timor. Jadi ia menyebabkan ahli itu tidak layak untuk bertanding,” katanya di sini, hari ini.

Ketua Bahagaian Bersatu Ipoh Timur, Nor Afzainizam Bin Salleh diumumkan menang tanpa bertanding bersama-sama Ketua Bahagian Bersatu lain antaranya di Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, serta di Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Ketua Bahagian Bersatu yang turut diumumkan menang tanpa bertanding ialah Abdul Malik Karim (Bagan Datuk), Mohader Ahmad Bin Mohammad Ayob (Batu Gajah), Azahari Bin Hassan (Padang Rengas) serta Kader Maideen Bin Hussain (Taiping).

Tambah Saiful, pada masa sama seramai dua ketua bahagian yang tidak mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Datuk Mohamed Azni Mohamed Ali di Tanjung Malim dan Datuk Khadri Khalid di Bukit Gantang.

Difahamkan Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim, Datuk Kamarul Rashdan Salleh bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian parti di Tanjung Malim.

Selain itu menurut Saiful, pada pemilihan parti kali ini, ia turut menyaksikan sembilan Ketua Armada bahagian dan empat Ketua Serikandi Bahagian juga menyaksikan tiada sebarang pertandingan.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang juga Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak di cabar oleh seorang calon.

“Sementara itu, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh tidak dapat mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Armada Bersatu Perak kerana sudah melepasi had umur yang ditetapkan untuk jawatan itu.

“Walau bagaimanapun beliau berjaya menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian Tambun.

“Selain itu, Ketua Srikandi Bersatu Perak, Norhaslinda Zakaria mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Serikandi Bahagian Lumut sambil dicabar oleh satu calon lain,” katanya.

Pemilihan Bersatu Perak bagi sesi 2019-2022 itu menyaksikan seramai 1,225 orang ahli yang bertanding dan daripada angka tersebut seramai 535 bertanding di peringkat Ketua Bahagian, 372 Ketua Serikandi serta 318 Ketua Armada.

Jelas Saiful kesemua 28,000 ahli parti boleh membuat sebarang rayuan atau bantahan berhubung keputusan itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Pusat bermula hari ini sehingga 14 Februari.

Pada sidang media sama, menurut Zainol yang juga Setiausaha Bersatu Perak, sebanyak lima Bahagian Bersatu yang akan memulakan mesyuarat pada 15 Februari ini iaitu Bukit Gantang, Tambun, Kuala Kangsar, Teluk Intan dan Tanjung Malim yang mana kesemuanya melibatkan 64 cawangan.

Katanya ia akan disusuli oleh semua Bahagian Bersatu Perak pada hari yang berikutnya.

“Di Perak kita menjangkakan akan selesai semua persidangan Cawangan Bersatu pada 15 Mac ini. Walaupun tempoh diberikan sehingga 29 Mac.

“Hasil perbincangan dengan Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Negeri kita memutuskan untuk mengambil tarikh awal iaitu bersidang bermula 15 Februari sehingga 15 Mac. Sekiranya ada penangguhan pada saat-saat akhir, ia akan diumumkan kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");