Panasnya Hari Ini

Pendedahan Klip Audio SPRM: Polis Panggil Najib, Rosmah Esok

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, ke Bukit Aman esok, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan susulan pendedahan klip audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata percakapan mereka akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Ya, Insya-Allah pada waktu pagi (Najib dan Rosmah dipanggil),” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

Yang turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");