Berita Hari Ini

Pengguna Keliru Terlalu Banyak e-Dompet

KUALA LUMPUR: Pengendali perkhidmatan e-dompet yang terlalu banyak di negara ini mengelirukan pengguna, manakala perkhidmatan disediakan tidak menyeluruh untuk merangkumi semua keperluan.

Menurut BH Online, Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata antara masalah yang dihadapi pengguna adalah terlalu banyak pengendali e-dompet menawarkan perkhidmatan, sehingga tidak semua peniaga dapat menyediakan kaedah pembayaran khusus.

Beliau berkata, pengguna juga terpaksa menyimpan banyak aplikasi e-dompet di dalam telefon pintar yang ada antaranya mempunyai perisian ‘berat’.

Malah, tegasnya pengguna juga tidak dapat mengakses e-dompet jika telefon pintar hilang dan berisiko nilai wang mereka akan digunakan pihak tertentu.

“Kerajaan ketika ini hanya melihat penggunaan e-dompet di satu kawasan sahaja, tidak melihat secara menyeluruh. Sebagai contoh, pemberian bantuan kerajaan kepada golongan sasar dalam bentuk e-tunai, diberikan kepada beberapa pengendali.

“Ini menyebabkan penerima sukar untuk menggunakan bantuan yang diterima kerana kebanyakan peniaga belum lagi menggunakan aplikasi berkenaan.

“Pada masa sama, pengguna terutama di kawasan luar bandar belum memahami cara penggunaan e-dompet dan ada dalam kalangan mereka langsung tidak menggunakan telefon pintar,” katanya.

Yusrizal berkata, CFM menyarankan Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal pengusaha e-dompet dan tidak perlu terlalu banyak pengendali.

Beliau berkata, ia harus disepadukan kepada satu atau dua pengendali sahaja dan keutamaan diberikan kepada pengusaha tempatan supaya wang tidak mengalir keluar negara, selain dapat menjana ekonomi.

Sementara itu, seorang sumber yang rapat dengan sebuah pengendali utama berkata, Malaysia memerlukan e-dompet yang boleh digunakan untuk semua urusan seperti perbelanjaan barangan, parkir, tol dan pembayaran perkhidmatan.

“Sebagai contoh, di China ketika ini hanya ada dua pengendali perkhidmatan, iaitu Alipay dan Wechat Pay. Negara yang mempunyai ramai penduduk juga mempunyai pengendali perkhidmatan yang sedikit, kenapa Malaysia, sebuah negara baharu membangun sebagai masyarakat tanpa tunai memerlukan terlalu banyak pengendali.

“Begitu juga di Singapura dan Hong Kong. Apa yang kita mahukan adalah perkhidmatan itu menyeluruh, ekosistem itu perlu lengkap.

“Di luar bandar dan pasar basah serta kedai runcit boleh dikatakan hanya 10 peratus menggunakan e-dompet, selebihnya masih menggunakan cara konvensional, iaitu menggunakan wang tunai,” katanya kepada BH.

Seorang lagi pegawai kanan pengendali perkhidmatan e-dompet yang enggan dikenali berkata, ekosistem e-dompet perlu menyeluruh dan tidak membebankan pengguna sehingga memerlukan beberapa aplikasi e-dompet dimuat turun di telefon pintar.

“Ada restoran yang menunjukkan jika bayaran dibuat menggunakan aplikasi e-dompet A, mendapat potongan harga 30 peratus. Namun, pengguna itu tidak mempunyai aplikasi A yang memaksa mereka memuat turun aplikasi A jika mahukan potongan harga itu,” katanya.

Berdasarkan data daripada BNM, ketika ini terdapat 49 pengendali yang diberikan lesen untuk mengendalikan perkhidmatan e-money atau e-dompet.

BNM juga tidak menetapkan had untuk lesen perkhidmatan e-dompet, yang membolehkan semua pihak mengemukakan permohonan.

Terdapat beberapa peraturan yang ditetapkan oleh BNM dan jika pemohon (pengendali) mematuhi keperluan yang ditetapkan, bank pusat akan memberikan lesen berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");