Berita Hari Ini

Pengurangan 18% Kadar Tol Langkah Berperingkat Hapus Tol, Kata Guan Eng

GEORGE TOWN: Pengurangan kadar tol sebanyak 18% di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd bermula tengah malam tadi ialah langkah berperingkat dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mencapai matlamat akhir menghapuskan tol, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, katanya, penghapusan tol itu tentu akan mengambil masa bergantung kepada keadaan ekonomi negara.

“Kalau kita lihat apa yang kita sebut ini adalah langkah secara berperingkat untuk matlamat akhirnya. Itu yang dinyatakan dalam janji manifesto PH. Tapi ini tentu akan makan masa kerana kita kena tunggu ekonomi pulih,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Pulau Pinang malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan DAP Pulau Pinang.

Janji ke-6 manifesto PH pada pilihan raya umum ke-14 lalu antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol 18% untuk kenderaan persendirian, bas dan teksi di Lebuhraya Utara Selatan, termasuk Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Terdahulu, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan dalam ucapannya berkata, kerajaan akan melancarkan program rangsangan ekonomi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mapan berterusan.

“Kita akan berusaha lebih untuk tarik pelaburan. Kelmarin saya pengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan Negara bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan saya nak beritahu RM1.3 bilion pelaburan adalah ke Pulau Pinang.

“Ini menunjukkan sememangnya pelaburan masih datang dan masuk ke Malaysia dan juga ke luar negeri. Hari ini kita terus jalankan usaha untuk mengurangkan kos sara hidup dengan pengurangan tol di Lebuhraya PLUS.

“Kita akan buat program lain dan pada masa yang sama kita pastikan pelaburan boleh masuk dengan cepat. Ini kita yakin dapat memastikan kehidupan rakyat dalam pembangunan ekonomi boleh terus dikekalkan,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");