Perak Hari Ini

Pengurusan Kes Saman Hak Milik Kekal Tanah 999 Tahun Di Perak Pada 24 Mac

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menetapkan tarikh 24 Mac depan sebagai pengurusan kes berhubung saman pemula yang dikemukakan Aswannudin Hariffudin terhadap Kerajaan Perak bagi menghalang pelaksanaan pemberian hak milik kekal tanah selama 999 tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Pendaftar Nur Laila Mohamed Nazil.

Peguam yang mewakili Aswannudin, K Jeyaraj berkata pihaknya baru menerima afidavit jawapan yang difailkan kerajaan negeri hari ini.

“Kerajaan negeri baru menyerahkan afidavit jawapan pagi ini dan kami akan mengambil tempoh dua minggu untuk membalas afidavit itu.

“Kerajaan negeri kemudian boleh menjawab jawapan balas kami itu dan mahkamah hari ini menetapkan sekali lagi 24 Mac untuk pengurusan kes,” katanya.

Pada Januari lalu, Aswannudin telah mengemukakan saman pemula terhadap Kerajaan Perak untuk tidak membuat sebarang keputusan berkaitan isu milik kekal tanah selama 999 tahun.

Katanya beliau bertindak sedemikian atas dasar peribadi dan tidak mewakili mana-mana organisasi ataupun pertubuhan.

Ekoran itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata akan mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-undang negeri selain menyebut sebarang keputusan mengenai isu hak milik kekal akan ditangguhkan sehingga keputusan mahkamah diperoleh.

Ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi, dekat sini, Aswannudin berkata beliau menyerahkan segala keputusan kepada mahkamah dan akan akur dengan proses perundangan negara.

Aswannudin Hariffudin

Selain itu Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak itu turut menafikan kenyataan seorang Exco Kerajaan Negeri yang menyifatkan tindakannya itu sebagai membuang masa.

“Saya sekarang berada di Mahkamah Tinggi dan saya tak nampak Exco yang bercakap sedemikian ada di sini. Ini bermakna masa saya yang dikorbankan untuk ke sini. Saya bergerak atas inisiatif sendiri.

“Alhamdulillah berkat doa dan sokongan kepada saya, kita sangat komited untuk meneruskan kes ini.

“Walaupun seperti saya katakan ibarat ‘penantian itu satu penyeksaan’, tapi kita akan mengikut lunas undang-undang. Walaupun ia mengambil masa lama, kita akan tetap tunggu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");