Berita Hari Ini

Penumpang Bawa Masuk Daging Tikus

BAYAN LEPAS: Penumpang dari Myanmar cuba membawa masuk daging tikus kering menerusi laluan ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas daging berkenaan dalam kejadian semalam.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli, berkata penumpang dari Myanmar itu tidak mempunyai dokumen untuk membawa masuk bahan berkenaan.

“Penumpang yang berusia sekitar 30-an itu didapati membawa masuk daging tikus kering sebanyak 780 gram, tanpa dokumen Permit Import dan sijil kesihatan dari negara pengeksport.

“Tujuan sijil kesihatan veterinar ini bagi memastikan barang atau daging berkenaan bebas penyakit dan virus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zarina berkata, MAQIS turut merampas buah mangga harumanis yang dibawa masuk penumpang dari Thailand tanpa sebarang dokumen yang sah seperti Import Permit dan Sijil Fitosanitasi.

Katanya, pemeriksaan mendapati penumpang berkenaan membawa mangga harumanis seberat 59.8 kilogram (kg) yang dianggarkan berjumlah RM2,565.68.

“Tujuan larangan pengimportan ini bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak ke Malaysia, seperti kumbang pengorek sekaligus merosakkan industri mangga negara.

“Selain daripada larangan pengimportan, kemasukan buah mangga oleh penumpang di laluan udara juga dilarang,” katanya lagi.

Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah daripada MAQIS menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, yang jika sabit kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 11(3), tidak melebihi RM100,000 atau tidak melebihi enam tahun penjaya atau kedua-duanya sekali.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");