Berita Hari Ini

Penyelia Kilang Mengaku Tidak Bersalah Hina Islam Di Facebook

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia kilang perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghina agama Islam melalui hantaran di ruangan komen akaun Facebook miliknya.

Menurut BH Online, Koh Teen Ern, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Tertuduh didakwa memuat naik satu hantaran di ruangan komen yang menghina agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya iaitu ‘Tim Koh’ dan tindakan itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama antara kumpulan beragama Islam dengan kumpulan bukan beragama Islam di seluruh negara.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara jam 2.47 pagi, 20 Disember 2019 dengan jam 9.56 pagi, 21 Disember 2019 mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 298A (1) kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abdul Hadi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di Balai Polis berdekatan sekali sebulan dan tertuduh dilarang membuat apa-apa hantaran dalam sosial media sepanjang perbicaraan berjalan,” katanya.

Koh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan isteri tidak bekerja dan menjaga ibu yang sudah tua.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh dilarang membuat apa-apa hantaran di dalam sosial media sepanjang perbicaraan berjalan.

Mahkamah menetapkan 12 Mac sebagai sebutan semula kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");