Perak Hari Ini

Perjalanan 2,000 Jemaah Umrah Dari Perak Terkesan

IPOH: Dianggarkan sekitar 2,000 jemaah dari Perak yang akan berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah terjejas susulan keputusan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan ke Makkah dan Madinah.

Pengerusi Persatuan Pengendali, Haji, Umrah dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ), Mohamad Ali Sabri Abdul Rahman berkata walau bagaimanapun kesemua jemaah telah dimaklumkan lebih awal berkenaan pengumuman tersebut.

“Kita sudah memaklumkan para jemaah kita awal. Antaranya semalam ada jemaah yang sepatutnya penerbangan mereka sekitar pukul 7 malam.

“Namun kita maklumkan kepada mereka pada petang sebaik menerima maklumat berkenaan pergantungan kemasukan itu,” katanya.

Menurutnya pihak agensi akan berbincang dengan para jemaah yang terlibat bagi menentukan satu tarikh baru penerbangan tersebut selepas penggantungan sementara visa itu ditarik balik.

Tambahnya para jemaah khususnya sekitar 60 peratus yang terdiri daripada jemaah kali pertama dinasihatkan untuk tidak berasa khuatir berhubung perkembangan itu.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB), di sini, hari ini.

Pada Khamis, Kementerian Luar mengesahkan Arab Saudi telah menggantung sementara kemasukan warga asing dari negara yang mengalami wabak COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur semalam sebagai langkah berjaga-jaga oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PUHAZ, Mohamed Jamaluddin mengakui pengumuman itu turut memberi kesan kerugian besar kepada 32 agensi di bawah persatuannya.

Walau bagaimanapun kata beliau proses mengambil jemaah-jemaah yang baru masih diteruskan seperti biasa oleh agensi.

“Kita masih meneruskan dalam mengambil jemaah-jemaah baru kerana penggantungan ini hanya sementara. Cuma berkenaan dengan tarikh penerbangan itu kita harus menunggu pengumuman lanjut daripada Arab Saudi,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, selain umrah, agensi-agensi terlibat turut terkesan ekoran penarikan diri para peserta yang ingin melancong ke luar negara menerusi pakej muslim.

Katanya ramai peserta yang dijadualkan ke luar negara pada Mac dan April ini menarik diri ekoran kebimbangan mereka berkenaan wabak COVID-19.

Ujarnya dalam satu-satu perjalanan ia boleh melibatkan minimum 25 peserta selain memaklumkan antara destinasi yang terlibat ialah seperti Korea Selatan, Indonesia dan Jepun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");