Berita Hari Ini

PM Pertahan Keputusan Ambil Alih 4 Hotel Tabung Haji

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan Tabung Haji (TH) memindahkan pemilikan rangkaian hotel TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) kepada anak syarikat milik Kementerian Kewangan.

Mahathir berkata, keputusan pindah milik empat rangkaian hotel milik TH kepada anak syarikat Kementerian Kewangan dibuat selepas mendapati beberapa hartanah milik TH tidak memberi keuntungan kepada agensi berkenaan.

“Ada beberapa hartanah yang tidak beri keuntungan. Maka mereka perlu melupuskannya.

“Namun, ada beberapa cara lain untuk melabur duit berkenaan supaya memberi pulangan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, TH mengumumkan operasi empat rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada anak syarikat Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM) mulai April ini.

TH berkata pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan semula dan penstrukturan institusi tersebut.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi memenuhi mandat yang diberikan untuk mengurangkan komitmen kerajaan.

Empat hotel THHR yang terlibat adalah di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Sebelum itu tular makluman yang dikatakan notis dalaman THHR mendakwa empat hotel itu dihentikan operasi, yang kemudian mengundang kebimbangan pengkritik.

TH menjelaskan hotel itu akan dikenali dengan nama baru Raia Hotel dan kekal dengan dengan konsep patuh syariah.

Kesemua hotel itu adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan, menurut TH.

TH juga berkata tiada kakitangan akan diberhentikan kerja. Bagaimanapun 10 peratus pekerjanya akan diserap oleh hotel TH di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");