Perak Hari Ini
Like

Program Visit Malaysia 2020 Geopark Walk @ TT5 Tarik 200 Penyertaan

February 4, 2020
327 Views
0 Comments
2 minutes read
Program Visit Malaysia 2020 Geopark Walk @ TT5 Tarik 200 Penyertaan

IPOH: Program Visit Malaysia 2020 Geopark Walk @ TT5 pada Ahad baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila ia disertai 200 orang peserta.

Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dalam satu kenyataan berkata program yang diadakan di persekitaran kawasan Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang (TT5) itu merupakan julung kali dianjurkan.

Katanya pada program tersebut para peserta perlu berjalan kaki mengelilingi kawasan tersebut selama 2 jam yang melibatkan perjalanan sejauh 2 kilometer (km).

“Ia bertujuan untuk mempromosikan Warisan Kapal Korek TT5 sebagai ikon perlombongan bijih timah di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta kepada orang ramai.

“Selain itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan penglibatan komuniti setempat dan menonjolkan Warisan Kapal Korek TT5 sebagai lokasi menarik bagi pelbagai acara,” kata kenyataan tersebut.

Semasa acara berlangsung, para peserta perlu berhenti ke 10 stesen terpilih dan 10 lokasi fotografi.

Pada setiap 10 stesen itu, para peserta perlu menjalani beberapa cabaran yang berlainan antaranya batu seremban, mengambil duit emas (‘gold coin’) menggunakan penyepit, memasukkan bijih timah ke dalam botol, membaca maklumat bijih timah, dan mengisi bunga rampai.

Selain itu para peserta juga berpeluang untuk menikmati biskut-biskut tradisional, kuaci, kacang putih, dan aiskrim yang disediakan pihak penganjur.

Program tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Menurut kenyataan media, Nolee berkata program seumpama itu disifatkan sebagai sesuatu yang kreatif selain dapat membangunkan pelancongan berasaskan komuniti.

Sementara itu, Pengarah Projek, Azian Mohd Arif berkata banyak program dan acara menarik telah disusun oleh syarikat bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 ini.

“Acara ini mendekatkan lagi komuniti dengan sejarah dan budaya tempatan. Tambahan pula, generasi pada hari ini berpeluang untuk mengambil bahagian dan merasai pengalaman baru di TT5,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.