Perak Hari Ini
Like

Pusat Perubatan Ar-Ridzuan Sasar Capai Status HMI Sepenuhnya Tahun Ini

February 18, 2020
382 Views
0 Comments
2 minutes read
Pusat Perubatan Ar-Ridzuan Sasar Capai Status HMI Sepenuhnya Tahun Ini

IPOH: Pusat Perubatan Ar-Ridzuan (PPAR) di sini menyasarkan sehingga penghujung tahun ini bagi mendapat pengiktirafan Hospital Mesra Ibadah (HMI) sepenuhnya.

Pengurus Besar PPAR, Khairul Salleh Abdul Rani berkata, daripada enam amalan HMI sedia ada, sejak tahun lalu PPAR telah berusaha menambah lagi tiga amalan sebagaimana yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk inisiatif tersebut.

Tiga amalan tersebut termasuk pembentukan jawatankuasa pemandu, pembentukan jawatankuasa kecil latihan, promosi dan audit serta pengumuman masuknya waktu solat.

“Kita sedang berusaha menambah tiga lagi amalan untuk mendapatkan status HMI 100 peratus.

“Semuanya sudah dilaksanakan cuma setakat ini kita ada masalah teknikal yang mana pengumuman masuk waktu solat tidak dapat dilakukan buat sementara.

“Namun perkara itu kita akan cuba atasi dan Insya-Allah pada tahun ini kita akan mendapatkan status HMI itu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Bersama Media di Hotel Impiana di sini, hari ini.

Pada tahun lalu, menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, PPAR yang dikendalikan Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan (KPAR) belum boleh diiktiraf sebagai 100 peratus HMI.

Menurut laporan itu, KPAR yang merupakan subsidiari kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tidak melaksanakan kesemua 13 amalan HMI dalam Garis Panduan Pelaksanaan Program Hospital Mesra Ibadah di PPAR.

Sebaliknya hanya enam amalan sahaja yang diamalkan di PPAR iaitu rujukan kepada mufti bagi hal berkaitan permasalahan agama; perjawatan khas pegawai agama diwujudkan; peralatan ibadah disediakan serta pengasingan bilik rawatan untuk lelaki dan perempuan; bacaan doa seawal pukul 8 pagi setiap hari dan doktor/jururawat/kakitangan bertugas menutup aurat atau berpakaian sopan.

Dalam perkembangan sama, Khairul Salleh berkata PPAR bakal menganjurkan Kursus Pembedahan Tulang Pinggul dan Lutut pada 7 dan 8 Mac nanti.

Katanya ia bakal dihadiri 30 pakar perubatan ortopedik dari dalam dan luar negara termasuk pakar dari Korea Selatan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.