Berita Hari Ini

Putrajaya Longgar Syarat Ambil Pekerja Asing Untuk Buat Topeng Muka

PUTRAJAYA melonggarkan syarat kemasukan pekerja asing bagi memudahkan proses pengeluaran topeng muka susulan kekurangan bekalan produk itu di pasaran kerana wabak Koronavirus Baharu (Covid-19), kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tambahnya, ia sudah diluluskan Kabinet tetapi kawalan pengambilan akan dilaksanakan bagi mengelak kebanjiran pekerja asing.

“Untuk makluman, Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah pun memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing untuk penghasilan lebih banyak topeng muka.

“Ketua setiausaha negara dan KDN akan kendalikan, ini adalah kecemasan, kita tak mahu juga kebanjiran (pekerja asing), ada kawalan akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Tertinggi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), berhubung kluster Covid-19 di Putrajaya, petang tadi.

Dr Wan Azizah juga berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat negeri dan cawangan diarahkan memastikan penjual tidak menjual topeng muka secara pukal kepada pelanggan.

“Antara langkah-langkah kawal seliaan bekalan dan harga jualan topeng muka di pasaran yang telah diambil adalah mengeluarkan surat arahan kepada KPDNHEP negeri dan cawangan untuk mengarahkan penjual topeng muka membuat kawalan kendiri dan tidak menjual secara pukal kepada pelanggan,” katanya lagi.

Tambah beliau, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga telah melaporkan terdapat percubaan dan permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran daripada Hong Kong iaitu kapal Westerdam dan Sapphire Princess.

Katanya, kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia, namun telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam.

“Manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura.

“Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal asing yang seumpama untuk berlabuh di mana-mana perairan Malaysia jika enggan berkongsi maklumat-maklumat penting yang diperlukan pihak berkuasa Malaysia,” katanya lagi.

Bagi kes jangkitan Covid-19, Dr Wan Azizah berkata, empat individu dibenarkan pulang hari ini, menjadikan kesemuanya tujuh daripada 19 individu yang dijangkiti.

“Keempat-empat mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan menunjukkan hasil ujian sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif,” katanya.

Beliau juga berkata, setakat hari ini tiada pertambahan kes baru dilaporkan  menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 19 kes.

“Sembilan kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI): lapan kes dalam kalangan kontak rapat; dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada 19 kes itu juga; 13 adalah warganegara China dengan enam adalah warganegara Malaysia,” katanya.

Selain itu, aktiviti pengesanan kontak rapat juga kata Dr Wan Azizah masih diteruskan bagi mengenalpasti kontak rapat kepada kes.

Menurut beliau, 239 kontak rapat telah dikenalpasti dan jumlah berkenaan akan bertambah sehingga pengesanan kontak rapat ini selesai.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 181 adalah warganegara Malaysia, 46 warganegara China, dan 12 lagi lain-lain warganegara.

“Kesemua kontak rapat yang telah dikesan ini, telah diambil sampel dan diletakkan di perintah pengawasan dan pemerhatian,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");