Perak Hari Ini

Rampas Dadah RM11 Juta Tempoh 2 Bulan

IPOH- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak berjaya merampas sejumlah RM11.8 juta dadah pelbagai jenis bersama sejumlah sitaan harta bernilai RM 2.227 juta dalam tempoh dua bulan bermula dari Januari 2020 hingga 24 Februari 2020.

Ketuanya, ACP, Lee King Chuan berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan siasatan dan risikan yang profesional dalam membanteras penyalahgunaan dadah di semua kawasan di Negeri Perak yang dijadikan sebagai tempat untuk pengedaran dan penagihan dadah.

“Jumlah keseluruhan tangkapan yang dibuat dalam tempoh tersebut seramai 1,824 orang dengan bekalan sebanyak 411 orang, memiliki seramai 980 orang, tangkapan dibawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) pengedaran dadah seramai 33 orang manakala urin positif adalah 400 orang.

“Jumlah dadah yang dirampas daripada dadah jenis sintetik iaitu syabu seberat 90,413.44 gm, ketamin seberat 11,216.50 gm, pil ecstacy sebanyak 185,466 biji, pil yaba sebanyak 5 biji dan pil erimin 5 sebanyak 648 biji,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Sementara itu katanya, satu tangkapan terbaru telah dibuat pada 24 Februari 2020 pada jam 3.30 petang di mana sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Perak telah menahan seorang kontraktor lelaki di hadapan sebuah rumah di kawasan Kampung Selamat, Sitiawan, Perak.

Menurut Lee, suspek yang ditahan merupakan seorang warga tempatan yang mengedar dadah selama tempoh 10 bulan untuk pasaran tempatan iaitu di Sitiawan.

“Hasil pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap saspek telah menjumpai dadah jenis Syabu (Methamphetamine) dengan anggaran berat kasar 75 gram.

“Pihak polis juga telah menahan seorang perempuan iaitu isteri suspek di dalam rumah tersebut yang mana turut positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh di dalam rumah telah menjumpai dadah jenis syabu (Methamphetamine) seberat 2.178 kg, heroin seberat 254 gram, pil ecstasy sebanyak 44 biji dan bahan disyaki dadah seberat 155 gram yang mana dapat menampung bekalan kepada 12,000 orang penagih.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM134,420, manakala pihak polis turut menyita dua buah kenderaan milik saspek dengan anggaran nilai semasa RM80,000 juga wang tunai RM44,100.

“Kedua-dua saspek direman selama tujuh hari mulai 25 Februari 2020 sehingga 2 Mac 2020 manakala, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");