Berita Hari Ini
Like

Saksi: Zahid Arah Pengeluaran Surat Ikat Kontrak Pada Datasonic Dipercepat

February 14, 2020
163 Views
0 Comments
2 minutes read
Saksi: Zahid Arah Pengeluaran Surat Ikat Kontrak Pada Datasonic Dipercepat

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan arahan melalui minit mesyuarat agar proses pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat milik kenalan politiknya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) berkaitan pembekalan cip pasport, dipercepat.

Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Abd Aziz Md Nor, 62, berkata Ahmad Zahid telah mengeluarkan arahan tersebut kepadanya melalui minit bertarikh 13 Okt 2015.

“Pada 22 Okt 2015, saya telah menerima surat daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) bertarikh 20 Okt 2015 yang memanjangkan surat DTSB, yang mana kami telah mendapat arahan daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu yang meminta agar (kami) percepatkan proses pengeluaran SST.

“Saya pasti ini adalah tulisan dan ‘initial’ Menteri Dalam Negeri ketika itu kerana saya kenal dan pernah menerima arahan melalui minit daripada menteri itu,” katanya yang membacakan penyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Saksi pendakwaan ke-33 itu berkata demikian pada hari ke-15 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

SST adalah surat rasmi yang merupakan ikatan kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat dan terma-termanya tidak boleh diubah selepas ditandatangani kedua-dua pihak.

Abd Aziz berkata Bahagian Perolehan KDN telah mengeluarkan SST yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN ketika itu, Alwi Ibrahim, pada 15 Dis 2015.

“SST ini berkaitan dengan pembekalan cip pasport selama lima tahun yang bernilai RM318,750,000 dan tarikh permulaan kontrak ialah pada 1 Dis 2016 sehingga 30 Nov 2021,” katanya.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.