Panasnya Hari Ini

Sesi Pendengaran Kes Disiplin Zuraida Pada 25 Februari

KUALA LUMPUR: Pejabat Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, mendakwa sudah mendapat persetujuan lisan supaya sesi pendengaran kes disiplin diadakan pada 25 Februari ini, susulan komitmen awal untuk menghadiri beberapa program besar kerajaan.

Memetik BH Online, Setiausaha Politik kepada Zuraida, Nor Hizwan Ahmad, menjelaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mempunyai jadual kerja amat padat, justeru sebarang keputusan untuk membatalkan atau menunda kehadiran pada program kerajaan bakal mencetuskan kesan besar.

Beliau berkata, antara impak negatif ialah ia akan merencatkan penyelarasan antara agensi yang mengatur program rasmi kerajaan secara lebih awal, selain memberi kesan kewangan kepada kementeriannya.

“Pejabat Naib Presiden PKR secara lisan menghubungi pegawai Lembaga Disiplin lebih awal dan memberi satu tarikh untuk kehadiran beliau bertemu dengan pihak Lembaga Disiplin.

“Dalam perbincangan berkenaan, pegawai itu bersetuju dengan tarikh cadangan pada 25 Februari ini memandangkan Zuraida sudah memberi komitmen awal dalam program besar Kerajaan Persekutuan atas kapasiti selaku menteri.

“Maka, saya ingin memaklumkan kepada pihak Lembaga Disiplin bahawa Zuraida hanya dapat hadir pertemuan bersama Lembaga Disiplin pada 25 Februari ini. Dengan penuh hormat, saya berharap agar tarikh itu dipersetujui untuk proses ini berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kassim, semalam, dilaporkan menolak permohonan Zuraida yang dikemukakan menerusi surat rasmi untuk menangguhkan sesi pendengaran kes disiplin terhadapnya.

Bagaimanapun, Lembaga Disiplin bersetuju memberi tempoh hingga 20 Februari ini untuk Zuraida menghadiri sesi pendengaran kes disiplin selepas mempertimbangkan faktor tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai menteri.

Dalam perkembangan lain, Nor Hizwan menempelak kenyataan Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang yang disifatkan ibarat tidak lebih daripada sekadar ‘pemain simpanan’ selepas serangan jagoan asal buntu menghasilkan jaringan dan direhatkan.

“Kenyataan Lih Kang amat tidak matang dan penuh prasangka. Saya ingin mempersoalkan kewajaran nada sedemikian yang ternyata tidak berasas serta tidak relevan.

“Zuraida jelas menyatakan hasrat bercuti daripada jawatan parti kerana ingin memberi laluan supaya proses Lembaga Disiplin terhadapnya dapat berjalan bebas serta tanpa pengaruh sama sekali.

“Lih Kang bahkan diam seribu bahasa apabila dua lagi Naib Presiden, iaitu Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli, lebih awal bercuti dengan senang-lenang meninggalkan tanggungjawab yang diamanahkan parti tanpa sebarang sebab munasabah.

“Tindakan yang memberi amaran supaya Zuraida tidak menjalankan sebarang aktiviti atas kapasiti Naib Presiden sepanjang tempoh cuti adalah tidak perlu sama sekali. Saya menegaskan, komitmen beliau selaku Naib Presiden dipilih akan terus digerakkan atas dorongan semangat dan dukungan ahli parti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");