Berita Hari Ini

Suami Isteri Didakwa Aniaya, Abai Anak Perempuan

BUTTERWORTH – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun, sejak pertengahan tahun lepas.

Menurut Bernama, tertuduh, T. Lohkanayagi, 38, yang merupakan ibu tiri mangsa dan P. Chadrasegaran, 36, bapa kandung kanak-kanak itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus.

Mengikut pertuduhan, Lohkanayagi, seorang suri rumah, selaku orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak itu didakwa menganiaya dan mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Chadrasegaran, yang merupakan mekanik pula didakwa mengabaikan, mendedahkan serta membiarkan anaknya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan emosi.

Pasangan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, di sini, pertengahan 2019 dan 9 Feb lepas, pada 12.15 tengah hari dan mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J.G. Kaameni tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan tertuduh pertama mempunyai hubungan (ibu tiri) dengan mangsa dan mengelakkan tertuduh mendekati dan mengganggu mangsa.

“Mangsa kini masih berada di hospital mendapatkan rawatan. Jaminan tidak dibenarkan kerana sekiranya jaminan dibenarkan tertuduh memperoleh akses untuk mendekati mangsa,” katanya.

Lohkanayagi yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan dia mempunyai tujuh anak dan anak bongsunya, berusia setahun mempunyai masalah jantung lemah.

Mahkamah membenarkan pasangan suami isteri itu masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");