Perak Hari Ini
Like

Tarikan Baru TT5 Dijangka Siap Pada Mei 2020

February 18, 2020
437 Views
0 Comments
2 minutes read
Tarikan Baru TT5 Dijangka Siap Pada Mei 2020

BATU GAJAH- Satu tarikan terbaharu di Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) iaitu Maze Garden atau Fun [email protected] dijangka bakal siap sepenuhnya pada bulan Mei tahun ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing semasa mengadakan lawatan ke Program simulasi menyelamat air bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hari ini.

Menurut, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, Anuar Zainal Abidin, selain dari tarikan kapal korek yang berusia 82 tahun yang mana merupakan warisan negeri ini, pihak mereka turut menyediakan satu tarikan baharu.

“Kami telah menyediakan satu tarikan baru bernama Maze Garden di mana ianya bakal berpotensi untuk menarik lebih banyak pelancong di mana penggunaan teknologinya adalah dari Korea Selatan.

“Kami telah melihat bagaimana mereka membinanya dan kami ingin membawa masuk tarikan pelancongan yang baru di TT5 ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembangunan Fun [email protected] di sini.

Beliau berharap tarikan baru tersebut akan dapat menarik aktiviti-aktiviti ekonomi setempat malahan pendudukk di kawasan tersebut akan ada aktiviti yang boleh dijalankan.

“Ada kemungkinan kita boleh menyediakan tapak-tapak kepada penduduk yang ingin berniaga dan pekerjaan-pekerjaan baru untuk penduduk setempat.

“Saya rasa ini adalah salah satu peranan agensi kerajaan negeri untuk merancakkan lagi aktiviti setempat,” katanya.


Sementara itu menurut Kar Hing, simulasi air yang dilakukan pada hari ini adalah untuk melihat tempat-tempat rekriasi dan pelancongan di kawasan semulajadi yang mempunyai kemungkinan risiko bahaya.

“Kerajaan negeri dan pihak bomba dalam usaha untuk mempertingkatkan segala aspek keselamatan contohnya memberi kelas menyelamat di dalam air secara teori dan kelas simulasi secara praktikal kepada kakitangan MB inc yang bertugas di TT5 untuk memahami aspek keselamatan.

“Memang ada risiko di tempat pelancongan tetapi kerajaan negeri, JBPM, pihak swasta dan Majlis Daerah memainkan peranan tetapi pengunjung juga boleh memainkan peranan supaya ada kesedaran di kalangan mereka sendiri mengenai tempat yang mempunyai risiko dan pada masa yang sama perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di pusat rekriasi dengan adanya kursus, taklimat dan bengkel oleh pasukan penyelamat.

Komen & Pendapat

Comments are closed.