Berita Hari Ini

‘Tiada Maaf Bagimu’

KALAU dia (pemandu mabuk) kata nak minta maaf, tiada maaf bagimu. Kehilangan anak saya adalah kehilangan yang tak dapat diganti, kata Borhan Madon, 65, bapa kepada Muhammad Zulfakkar, 29, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Klang pada 23 Januari lalu.

Muhammad Zulfakkar maut selepas dirempuh sebuah trak pikap jenis Ford Ranger dalam kejadian di Jalan Kebun dari arah Bulatan Jalan Kebun menghala ke jejambat Lebuh Raya Shah Alam.

Kemalangan tersebut tular dalam laman sosial selepas pemandu trak pikap itu dikatakan mabuk meskipun polis menyatakan saringan awal kandungan alkohol dalam darah melalui ujian pernafasan menunjukkan ia pada tahap kawalan dibenarkan.

Masih sedih dengan pemergian anaknya, Borhan kini hanya berserah kepada ALLAH, namun menegaskan, tiada maaf bagi pemandu dipercayai mabuk yang merempuh anaknya.

“Saya berserah kepada ALLAH kerana ALLAH itu pencipta tapi kena lihat juga keterbatasan saya sebagai manusia, tiada maaf bagimu.

“Saya percaya janji ALLAH itu lebih besar, balasan ALLAH itu lebih hebat daripada balasan kita sebagai insan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Gambar kenangan Zulfakkar (kanan belakang) bersama keluarganya.

Gambar kenangan Zulfakkar (kanan belakang) bersama keluarganya.

Dalam pada itu, Borhan berharap hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk terutamanya yang menyebabkan kematian, agar orang awam takut untuk mengulangi perbuatan sama.

“Pencegahan itu lebih baik daripada merawat tapi pencegahan itu mestilah yang menyebabkan orang takut, tak berani nak buat. Contohnya, hukuman penjara 30 tahun,” katanya.

Pertemuan singkat dengan bapa kepada enam anak itu di Kampung Melaka Pindah, Melaka menyingkap pelbagai kisah terutamanya hubungan akrab Borhan bersama arwah, anak kelima daripada enam beradik.

Beberapa kali juga pesara bomba ini gagal mengawal kesedihan lebih-lebih lagi tatkala melihat gambar kenangannya bersama Muhammad Zulfakkar. Sesekali tumpah juga air mata insan tabah itu.

Menurut Borhan, dia kerap mengunjungi pusara anaknya di kampung tersebut dan ternyata kerinduan jelas terpancar pada wajah Borhan ketika mengusap tanah-tanah yang masih merah di pusara anaknya.

Menceritakan semula detik sedih kehilangan anaknya, Borhan berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 7 pagi pada hari kejadian.

“Saya rasa tidak sedap hati kerana biasanya kalau orang telefon awal pagi, mesti ada berita besar nak disampaikan,” katanya.

Zulfakkar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh trak yang dipandu pemandu yang dipercayai mabuk di Jalan Kebun, Klang.

Zulfakkar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh trak yang dipandu pemandu yang dipercayai mabuk di Jalan Kebun, Klang.

Ternyata telahannya benar, berita sedih menerjah masuk halwa telinga pesara bomba itu.

“Bila saya dengar berita Zulfakkar meninggal dunia kemalangan, saya rasa seperti semua lampu sekeliling saya padam sebab saya baru tiga hari lepas berjumpa dan berbual dengannya,” katanya.

Borhan yang ditemui di pondok rehatnya di Melaka baru-baru ini berkata, dia terus bersiap dan menuju ke hospital di Klang bagi melihat jenazah anaknya itu.

“Bila saya sampai, saya nampak ada dua jenazah. Mereka tunjukkan mana satu jenazah Muhammad Zulfakkar. Saya membuka kain itu, saya pegang tangannya, masih hangat, saya pegang lehernya, masih hangat, saya pegang dadanya, masih hangat juga.

“Saya berbisik kepadanya. Tak apalah nak, kalau ini suratan takdir, ALLAH menjemput kamu kerana kasihnya ALLAH kepada kamu,” katanya.

Nyaris maut digilis lori

SEORANG mangsa langgar lari pemandu mabuk, Mohd Shafaris Mohd Sharani, 36, tidak pernah melupakan insiden motosikalnya dirempuh pemandu mabuk dari belakang yang hampir meragut nyawanya 10 tahun lepas.

Mohd Shafaris (kanan) bersyukur nyawanya masih panjang dan masih boleh melihat wajah isteri dan anak-anaknya.

Mohd Shafaris (kanan) bersyukur nyawanya masih panjang dan masih boleh melihat wajah isteri dan anak-anaknya.

Meskipun kejadian itu sudah lama berlalu, bapa kepada empat anak ini masih berasa bimbang menunggang motosikal terutamanya untuk perjalanan jauh pada waktu malam.

“Masa itu Tahun Baru Cina pada 2010, saya dan sepupu serta adik ipar dalam perjalanan pergi kerja, kira-kira jam 2 pagi. Tiba-tiba motosikal saya dirempuh dari belakang. Mujur adik ipar sempat tarik, kalau tak memang saya kena gilis lori.

“Pemandu tersebut larikan diri tapi sepupu saya berjaya menjumpainya di Selayang. Lepas kena langgar memang saya tak sedar dah. Saya alami kecederaan parah pada kepala dan muka. Sebulan juga duduk di hospital, hilang ingatan sikit-sikit selama tiga bulan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kemalangan itu juga, enam bulan dia menjadi penganggur namun Mohd Shafaris bersyukur kerana umurnya masih panjang dan masih berkesempatan bertemu keluarganya.

Keluarga mangsa mahu ambil tindakan undang-undang

KELUARGA mangsa kemalangan di Kilometer 13 Lingkaran Luar Butterworth, Butterworth dekat sini kelmarin akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemandu kereta yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan dua lelaki maut.

Bapa Muhammad Amin Najmi, Azaman Hashim, 49, berkata, tindakan undang-undang itu demi keadilan buat anaknya dan sahabat baik anaknya, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21, yang maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta berkenaan.

“Saya akan berbincang dengan keluarga Muhamad Syaiful untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk saman ke atas pemandu wanita tersebut.

“Saya juga berharap pihak kerajaan dan polis dapat ambil tindakan yang lebih tegas terhadap pemandu mabuk ini kerana sejak kebelakangan ini, kita kerap dengar kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk,” katanya di sini semalam.

Dalam kemalangan pukul 2.30 pagi itu, Muhammad Amin membonceng motosikal Yamaha 125 ZR yang ditunggang Muhamad Syaiful dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Paya Keladi Hujung di sini sebelum dilanggar dari belakang.

Jenazah Muhammad Amin dan Muhamad Syaiful dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Paya Keladi semalam. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");