Perak Hari Ini

Tidak Akan Mohon Maaf, Pas Perak Sedia Berdepan Saman Asmuni

IPOH: Pas Perak bersedia untuk berdepan tindakan saman yang akan dibuat Peguam Biro Kanun Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni berkaitan kenyataan Ketua Penerangan PAS Perak, Hafez Sabri di laman Facebook beliau berhubung isu Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Surau Al-Qamar awal bulan ini.

Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata malah tuntutan supaya Hafez menarik balik kenyataan dan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari juga tidak akan dibuat.

“Ugutan mahu menyaman ini agak ‘lucu’ kerana jika mahu bertindak demikian, mereka boleh sahaja terus memfailkan saman hari ini dan kita bersedia berhadapan di mahkamah. Tidak perlu tunggu tempoh tujuh hari.

“Pendirian Pas perak ialah tidak akan ada isu permohonan maaf secara terbuka dibuat ke atas Asmuni.

“Seterusnya, tidak akan ada tindakan menarik balik posting dan tidak akan ada apa-apa tindakan lain sebagaimana yang dituntut peguam Datuk Asmuni,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Perak, di sini, hari ini.

Pada Selasa, peguam kepada Exco Kerajaan Negeri Datuk Asmuni Awi, Mohd Fitri menuntut agar Hafez membuat tindakan-tindakan sedemikian dan sekiranya gagal, bekas calon Pilihanraya Umum Ke-14 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi itu bakal berdepan tindakan undang-undang.

Untuk rekod, Pada 4 Februari, Hafez menerusi laman Facebook beliau telah mendakwa tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa negeri dan Asmuni terhadap Surau Al-Qamar di sini, yang menganjurkan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina pada 1 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Wan Rohimi berkata tindakan Hafez itu tidak mempunyai sebarang bentuk serangan peribadi mahupun unsur yang sehingga boleh mencemarkan reputasi Asmuni selaku Exco Agama Negeri.

Sebaliknya kata beliau Hafez sekadar melontarkan persoalan berhubung isu sama yang didakwa mengundang keresahan masyarakat Islam tempatan.

Katanya lagi ketika kenyataan Ketua Penerangan PAS Perak itu dibuat, masih tidak ada sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak berkuasa negeri.

“Datuk Asmuni berhak untuk menyatakan apa-apa pendirian dan kita juga berhak menyatakan pendirian untuk mempersoalkan beliau.

“Pada pandangan saya tindakan Hafez itu wajar kerana tidak ada menimbulkan sebarang elemen fitnah terhadap Asmuni seperti didakwa,” katanya.

Selain itu katanya lagi, pihaknya masih menunggu notis tuntutan daripada peguam Asmuni dan sekiranya diterima, tindakan lanjut akan dibuat.

Sementara itu dalam sidang media sama, Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata tindakan pembangkang melontarkan persoalan terhadap sebarang isu kepada kerajaan adalah amalan biasa bagi sesebuah negara demokrasi.

“Mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi, amat biasa sekiranya pihak pembangkang ingin memohon penjelasan daripada pihak kerajaan.

“Mengapa Asmuni hendak ‘sentap’ pula? Apa yang disebutkan Hafez ialah sebagai mahu memohon penjelasan sahaja,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");