Berita Hari Ini

Tun Mahathir Jelaskan Mengapa Beliau Lepaskan Jawatan

PUTRAJAYA: Kemungkinan UMNO yang akan mendominasi kerajaan campuran, sekiranya ia akan wujud merupakan salah satu punca Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan baru-baru ini.

Katanya beliau boleh menerima anggota UMNO yang keluar dari parti itu namun tidak kepada anggota yang masih setia bersama UMNO.

“Parti saya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH). Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan PH akan gugur.

“Kesannya jika BERSATU sokong PAS dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan mendirikan Kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai Kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas, hari ini.

Selain itu beliau turut membayangkan seolah-olah mencadangkan agar diwujudkan sebuah kerajaan yang tidak dinominan oleh mana-mana parti ataupun sebuah kerajaan campuran.

“Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

“Politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenarkan, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” katanya.

Pada masa sama, Mahathir turut memohon maaf kepada rakyat sekiranya tindakan beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri adalah salah sehingga menimbulkan ketidaktentuan situasi politik tanah air masa kini.

Tegas beliau, peluang untuk diadakan peralihan kuasa memang ada namun Mahathir menjelaskan beliau memohon satu tempoh masa untuk berbuat demikian.

“Terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan ‘gila kuasa’. Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya.

“Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

“Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang.

“Sebenarnya saya telah janji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan mengganti saya. Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");