Sukan Hari Ini

Undian, Carlin Jejas Rentak

UNDIAN dan terhimpit dengan pelumba Britain, Jack Carlin ternyata merencatkan impian pelumba trek negara, Azizulhasni Awang untuk meraih jersi pelangi buat kali kedua dalam kariernya.

Menurut Harian Metro, Azizulhasni yang meraih gangsa dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman awal pagi semalam mengakui tiga kali dia mendapat undian tempat pertama (paling hadapan) ketika perlumbaan bermula agak mengganggu taktikalnya.

“Perancangan awal saya untuk mendapatkan posisi terbaik sebelum pecutan bermula, tapi semua pelumba menunggu di belakang. Selepas pusingan kedua terakhir saya cuba memecut ke depan selepas sedar ada pergerakan dari belakang.

“Saya terkepung dan terhimpit dengan pelumba Britain (Carlin). Ia merencatkan kayuhan dan kelajuan saya ketika itu,” katanya dalam entri media sosial semalam.

Dia yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman mengakui banyak lagi perkara boleh diperbaiki dalam tempoh baki beberapa bulan ini sebelum Olimpik Tokyo bermula.

“Saya percaya ini semua perancangan Allah SWT yang menangguh kemenangan saya di sini. Saya bayangkan kalau menang hari ini (semalam) tekanan di Olimpik nanti pasti berlipat kali ganda.

“Saya berharap kejayaan kecil di bumi Jerman ini, menyatu padukan seluruh rakyat Malaysia. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada saya serta sukan berbasikal Malaysia,” katanya.

Emas dalam acara berkenaan diraih pelumba Belanda, Harrie Lavreysen manakala perak milik Yuta Wakimoto dari Jepun.

Ini pingat keenam pelumba kelahiran Dungun itu di Kejohanan Dunia dengan pencapaian terbaik meraih emas pada 2017 di Hong Kong.

Dia juga pernah meraih perak dalam acara pecut pada 2009 di Pruszkow, Poland, manakala pingat yang sama juga dimenangi ketika di Ballerup, Denmark setahun kemudian bagi saingan keirin.

Dua lagi gangsa pernah digondol pelumba berusia 32 tahun itu dalam acara keirin ialah pada 2015 (Yvelines) dan 2016 (London).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");